AM > BERITA

Malaysia Teroka Kerjasama Dengan Palang Merah Kenya - PM Anwar 

24/11/2025 09:27 PM

Daripada Saraswathy Muniappan

NAIROBI, 24 Nov -- Malaysia akan meneroka peluang kerjasama yang lebih erat dengan Palang Merah Kenya termasuk dalam aspek latihan, pembangunan kapasiti dan perkongsian kepakaran, bagi memastikan tiada komuniti tercicir ketika berdepan bencana dan krisis, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Semoga usaha ini membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara dan memperkukuh kemanusiaan sejagat,” katanya  dalam satu kenyataan selepas kunjungan Setiausaha Agung Palang Merah Kenya Dr Ahmed Idris, yang memiliki rekod cemerlang dalam kerja kemanusiaan, dasar awam dan undang-undang antarabangsa.

Anwar berkata dalam pertemuan berkenaan, beliau dan Dr Ahmed bertukar pandangan terkait peranan Palang Merah Kenya dalam melindungi masyarakat, mengukuhkan kesiapsiagaan bencana serta memperbaiki rangka kerja dasar bagi menghadapi cabaran kemanusiaan yang semakin kompleks.

“Saya juga dimaklumkan bahawa Palang Merah Kenya merupakan sebuah institusi yang sangat berpengaruh serta dihormati, termasuk dalam komuniti Islam, lantas menjadikan platform tersebut sebagai wadah mempromosikan nilai kemanusiaan dan ihsan secara berkesan,”  kata beliau.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Dr Ahmed atas dedikasi memajukan agenda kemanusiaan di Kenya dan rantau Afrika. 

“Malaysia sentiasa percaya bahawa kekuatan sebuah negara bukan hanya dinilai melalui pembangunan fizikal, sebaliknya melalui komitmen menjunjung nilai belas ihsan, keadilan dan maruah insan.”

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan