AM > BERITA

Kuala Lumpur, Nairobi Perkukuh Perkongsian Pengetahuan Dan Inovasi Bandar

24/11/2025 08:38 PM

Oleh Saraswathi Muniappan

NAIROBI, 24 Nov (Bernama) -- Pertukaran surat niat kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Nairobi City County Government menjadi asas kepada hubungan antara bandar yang berteraskan pembangunan inklusif, kemampanan serta pertukaran pengetahuan. 

“Kerjasama ini akan melibatkan bidang tujahan penting iaitu pelancongan dan budaya, pembangunan komuniti bandar, pemerkasaan kemahiran dan kepakaran, pengurusan sisa, ekonomi kitaran serta perancangan bandar yang lebih tersusun,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dalam sosial media beliau. 

Majlis pertukaran itu berlangsung antara Dr Zaliha dan Setiausaha Kabinet Kenya, Kementerian Hal Ehwal Belia, Ekonomi Kreatif dan Sukan Salim Mvurya yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Kenya William Samoei Ruto.

Selain itu, katanya kerjasama itu akan turut membuka ruang kepada pertukaran idea dan maklumat yang dapat memperkukuh hubungan teknikal serta persefahaman.  

Beliau berkata Nairobi sebagai pusat kewangan, teknologi dan diplomasi serantau serta lokasi kepada banyak pertubuhan antarabangsa dilihat mempunyai kedudukan yang strategik di Afrika Timur.

“Kedudukan ini memberikan peluang kepada Kuala Lumpur untuk memanfaatkan pengalaman Nairobi dalam aspek pengurusan bandar dan inovasi,” kata Dr Zaliha.

Beliau menambah kerjasama berkenaan akan melengkapi pelaksanaan visi Bandar CHASE di Wilayah Persekutuan yang turut memberikan tumpuan kepada perancangan masa depan, ketahanan bandar dan pengukuhan rangkaian global.

Dr Zaliha kini berada di Nairobi bersama delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri.

Anwar yang tiba semalam, akan mengakhiri siri lawatan ke tiga negara di benua Afrika hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan