GEORGE TOWN, 24 Nov (Bernama) -- Pulau Pinang mempergiat usaha promosi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) melalui pelancaran kempen ‘Penang Inspiring Meetings x Visit Malaysia 2026’, yang bertujuan mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi utama bagi pelancongan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hong Wai, berkata inisiatif oleh Penang Convention and Exhibition Bureau (PCEB) itu direka untuk menarik lebih banyak mesyuarat dan pameran berskala besar, sekali gus memberi impak ekonomi yang meluas kepada sektor hospitaliti, kreatif dan perkhidmatan.
“TMM2026 bukan sekadar kempen pelancongan, tetapi usaha nasional untuk mempamerkan kepelbagaian budaya, warisan yang kaya dan infrastruktur moden Malaysia kepada dunia.
“Bagi Pulau Pinang, ini adalah peluang untuk memperkukuh kedudukan kami sebagai destinasi pilihan bagi pengunjung untuk tujuan percutian dan perniagaan,” katanya pada majlis pelancaran kempen ‘Penang Inspiring Meetings x Visit Malaysia 2026’ di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo; Ketua Pegawai Eksekutif PCEB, Ashwin Gunasekeran; dan Pengarah Cawangan Negeri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dr Annuar Mohamed.
Wong berkata pembukaan PWCC menandakan tahap penting dalam pembangunan sektor MICE negeri, membolehkan Pulau Pinang menjadi tuan rumah kepada acara antarabangsa berskala lebih besar serta menarik lebih ramai penganjur global.
Beliau memaklumkan Pulau Pinang merekodkan 2,059 acara perniagaan pada 2024, dengan anggaran impak ekonomi sebanyak RM1.29 bilion. Negeri ini terus mencatat prestasi kukuh tahun ini, dengan 1,202 acara perniagaan setakat Oktober, menjana anggaran RM814 juta.
Dengan pelancaran kempen ‘Penang Inspiring Meetings x Visit Malaysia 2026’, Wong berkata inisiatif itu dijangka meningkatkan reputasi antarabangsa Pulau Pinang, menarik lebih banyak persidangan dan pameran ke PWCC, serta merangsang ekonomi pelancongan dan kreatif secara lebih meluas, termasuk sektor hospitaliti, pengangkutan, gastronomi, budaya dan perkhidmatan kreatif.
Sementara itu, Ashwin berkata kempen itu menekankan kesediaan Pulau Pinang menerima delegasi antarabangsa dan memperkukuh status negeri ini sebagai destinasi MICE utama yang mengutamakan hubungan bermakna dan pembangunan lestari.
Menjelang 2026, katanya PCEB akan memperluas sokongan kepada sektor baru, memupuk pelbagai acara perniagaan berimpak tinggi yang selaras dengan visi Pulau Pinang untuk pertumbuhan lestari dan inklusif.
“Ini termasuk mekanisme dipertingkatkan untuk mesyuarat, persidangan dan pameran yang mempromosikan inovasi, pertukaran ilmu dan tanggungjawab sosial,” katanya.
Bertemakan ‘Malaysia Truly Asia’ dan ‘Surreal Experiences’, VM2026 bertujuan menjemput dunia untuk meneroka jati diri sebenar Malaysia melalui budaya unik dan keindahan semula jadi negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial