AM > BERITA

Komuniti Malaysia Di Kenya Bawa Wajah Negara - PM Anwar

24/11/2025 08:59 PM

Daripada Saraswathi Muniappan

NAIROBI, 24 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuan dengan komuniti Malaysia di Kenya membuka lembaran baharu mengenai bagaimana komuniti itu yang tinggal di sini terus mekar dengan kekuatan dan keunikan tersendiri. 

Anwar berkata meskipun bertugas jauh dari tanah air, mereka menceritakan tentang budaya kerja yang berlainan, keluarga dan penyesuaian budaya, selain cekal mengekalkan tutur, nilai dan kehangatan adab Malaysia yang begitu dikenali.

"Ada yang sudah menetap di Nairobi, ada yang baru berhijrah, tetapi semuanya membawa wajah Malaysia di setiap lapis kehidupan mereka di sini," katanya dalam pertemuan bersama diaspora Malaysia di sini hari ini.

Sebahagian yang hadir adalah dalam kalangan alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). 

“Apa yang benar-benar membekas adalah rasa kekitaan dan kecintaan mereka terhadap Malaysia. Mereka mungkin tinggal nun jauh di benua Afrika, namun hati dan kalbu mereka tetap terikat dengan negara," katanya.

Beliau berkata dalam cara bekerja, bersahabat dan jati diri, komuniti Malaysia secara tidak langsung mengangkat nama Malaysia. 

“Saya akan pulang ke tanah air dengan rasa bangga dan keyakinan bahawa hubungan seperti ini yang berpaksi pada ketulusan dan kejujuran akan terus menghubungkan Malaysia dengan dunia seluruhnya,” katanya.

MTCP merupakan program latihan jangka pendek di bawah kerajaan Malaysia yang ditawarkan kepada negara membangun di seluruh dunia termasuk Kenya.

Program tersebut diperkenalkan pada tahun 1980 sebagai komitmen Malaysia untuk berkongsi pengalaman pembangunan dengan negara sedang membangun.

Di bawah program itu, Malaysia menawarkan pelbagai kursus latihan jangka pendek, biasiswa serta program pembangunan kapasiti dalam bidang seperti pentadbiran awam, pendidikan, teknologi, ekonomi dan pengurusan sosial.

Setakat ini, lebih 600 pegawai di Kenya telah mendapat manfaat daripada program tersebut, katanya.

Kenya merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika dengan jumlah perdagangan sebanyak RM5.7 bilion pada 2024, meningkat 1.2 peratus berbanding RM5.51 bilion pada 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan