AM > BERITA

Lebih 1,000 Mangsa Banjir Direkodkan Di Selangor Setakat Ini - Amirudin

24/11/2025 09:06 PM

SHAH ALAM, 24 Nov (Bernama) -- Lebih 1,000 mangsa banjir ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa daerah di Selangor.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata berikutan itu, beberapa langkah susulan serta bantuan akan diumumkan esok setelah kerajaan negeri meneliti keadaan banjir terkini.

“Insya-Allah, malam ini beberapa exco akan turun ke PPS untuk melihat sendiri apa yang berlaku dan esok kita akan melakukan satu taklimat khusus (berhubung pengurusan banjir).

“Saya ucapkan selamat pulang ke kawasan masing-masing (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan sila maklumkan jika apa-apa sokongan perlu diberikan terutamanya dalam berhadapan dengan bencana banjir,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Amirudin mengarahkan semua exco dan pegawai kerajaan Selangor turun menyantuni mangsa yang terjejas banjir susulan hujan lebat yang berlaku di negeri itu sejak semalam.

Amirudin berkata kerajaan negeri sedang mengemas kini perkembangan dan situasi banjir di seluruh Selangor.  

Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata 14 PPS yang dibuka melibatkan Sabak Bernam dengan dua daripadanya sedang beroperasi, Kuala Selangor (tiga), Petaling (dua), Hulu Langat (empat), Klang (tiga) setakat 7 malam ini.

Mohd Najwan yang juga Exco Pengurusan Bencana negeri berkata berdasarkan maklumat daripada Unit Pengurusan Bencana Negeri sebanyak 1,303 mangsa daripada 350 keluarga kini berlindung di PPS tersebut.

Persidangan DUN Selangor ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan