AM > BERITA

Teknologi AI, IoT Perkukuh Pengurusan Air Selangor - Pakar

24/11/2025 09:46 PM

SHAH ALAM, 24 Nov (Bernama) -- Inisiatif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meneroka penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet benda (IoT) dalam sistem rawatan air negeri adalah satu langkah tepat dalam memperkukuh kecekapan pengurusan sumber air.

Langkah itu juga membolehkan teknologi AI digunakan untuk memantau, meramal serta mengesan perubahan kualiti air mentah dari sungai sebelum dirawat di 34 loji rawatan air di seluruh Selangor, sekali gus meningkatkan ketepatan intervensi awal dan kecekapan operasi.

Pakar berpendapat inisiatif berkenaan berpotensi mengurangkan pembaziran sumber melalui pengesanan awal kebocoran, selain meminimumkan kesan gangguan kepada pengguna dan menyokong agenda kelestarian negeri.

Pengarah Pusat Kecerdasan dan Robotik (CAIRO) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Mohd Ibrahim Shapiai berkata data yang dijana oleh AI dan IoT boleh berfungsi sebagai sistem amaran awal untuk mengesan potensi pencemaran, ketidakstabilan tekanan air dan risiko gangguan bekalan.

Beliau berkata teknologi berkenaan turut memastikan pengguna domestik dan komersial tidak terjejas sekiranya berlaku kejadian di luar jangka pada sistem paip atau sumber air mentah.

“Pemantauan melalui IoT dan AI bukan sekadar melihat tekanan atau kualiti air, tetapi membolehkan ramalan awal dibuat serta menganalisis punca masalah dengan lebih tepat jika berlaku pencemaran atau kebocoran.

“Data ini juga membantu pembekal air mengenal pasti corak permintaan serta menilai kecekapan penggunaan pam mengikut kapasiti kawasan,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas langkah kerajaan negeri menerusi syarikat Air Selangor yang dilaporkan sedang meneroka teknologi rawatan air berasaskan AI, antara lain bagi memastikan air mentah dari sungai dipantau dari segi kualiti sebelum dirawat di 34 loji rawatan air syarikat itu di seluruh negeri.

Menurut Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim teknologi pintar dijangka menjadi elemen penting dalam memastikan ketahanan serta kebolehpercayaan jangka panjang sistem bekalan air Selangor berikutan peningkatan keperluan air berkualiti dan risiko pencemaran yang kompleks.

Mohd Ibrahim berkata penggunaan teknologi itu sejajar dengan pendigitalan sektor air negara dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Selangor sebagai pengguna utama perkhidmatan Air Selangor.

“Kecekapan yang meningkat bukan sahaja menurunkan kos operasi, malah mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) serta meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan bekalan air negeri,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pakar TRIZ (Teori Penyelesaian Masalah Inventif) Malaysia Dr Zulhasni Abdul Rahim berkata teknologi AI berpotensi meningkatkan tindak balas terhadap insiden pencemaran air melalui pemantauan masa nyata terhadap kandungan kimia dan perubahan kualiti air.

“Kualiti air perlu mematuhi piawaian ditetapkan termasuk tahap pH dan kandungan bahan kimia seperti dirujuk oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Sekiranya parasnya tidak memenuhi syarat, ia dikategorikan sebagai tercemar dan memerlukan tindakan segera.

“Penggunaan sensor IoT membolehkan pemantauan masa nyata sekali gus meminimumkan keperluan penutupan loji atau gangguan bekalan yang panjang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata integrasi AI dan sensor IoT di kawasan tadahan serta sungai utama turut dijangka meningkatkan kesiapsiagaan loji rawatan air negeri melalui keupayaan membuat ramalan awal terhadap perubahan paras kekeruhan, kehadiran bahan pencemar dan turun naik kualiti air mentah.

Melalui analisis data masa nyata, operator loji dapat melakukan pelarasan rawatan kimia, menutup sementara pengambilan air atau mengaktifkan protokol kecemasan sebelum kualiti air terjejas, sekali gus mengelakkan gangguan bekalan kepada pengguna.

Langkah pendigitalan itu juga dijangka membantu Selangor menangani cabaran jangka panjang, termasuk kejadian pencemaran sungai, cuaca ekstrem serta pertumbuhan permintaan air di kawasan bandar yang semakin pesat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan