AM > BERITA

Mersing Kekalkan Keseimbangan Kemajuan, Kelestarian

25/11/2025 09:47 AM

Oleh Nur Faradilla Mohamad

MERSING, 25 Nov (Bernama) -- Persepsi yang melabel Mersing sebagai daerah 'kuno' dari sudut tertentu ternyata ada asasnya, kata Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah.

Beliau berkata bagaimanapun "kekunoan" bukanlah bermaksud ketinggalan, sebaliknya merujuk kepada pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian pelancongan, termasuk kawasan hutan simpan, dasar laut, batu karang serta hidupan liar yang dikekalkan bagi memastikan daya tarikan semula jadi terus terpelihara.

"Kuno itu adalah dari segi pembangunan alam sekitar, memang kita kekalkan. Kita tak mahu tebang hutan untuk pembangunan kerana nak kekalkan hutan simpan, yang mana Mersing terkenal dengan pelancongan lestari 'Rainforest to Reef'. 

"Selain itu, kita juga mengekalkan keseimbangan antara kemajuan dan kelestarian, termasuk penambah baikan infrastruktur di pulau-pulau berpenduduk," katanya dalam satu temu bual bersama Bernama baru-baru ini. 

Mersing mempunyai lima pulau berpenduduk, iaitu Pulau Sibu, Pulau Tinggi, Pulau Besar, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur.

Beliau berkata 'Mersing Marine Conservation Group' (MMCG) terdiri daripada belia pulau dan komuniti setempat, adalah antara pihak yang gigih menjaga aset kuno ini supaya terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Justeru itu, pelancong dapat menikmati pengalaman autentik dari hutan ke laut, termasuk aktiviti hiking (kembara), pantai dan selam skuba di pulau-pulau indah, sementara komuniti tempatan terus dilibatkan dalam pembangunan pelancongan.

Jamil Hasni berkata selain kaya dengan keindahan alam semula jadi, daerah ini juga sedang berkembang pesat sebagai pusat pelancongan lestari, hab ekonomi maritim dan pertanian moden di samping keunikan budaya masyarakat setempat. 

"Setiap langkah pembangunan dirancang bagi memastikan manfaatnya dinikmati oleh rakyat, tanpa menjejaskan keindahan serta warisan yang menjadi identiti daerah ini. 

"Mersing bukan sekadar tempat untuk dilawati, bahkan daerah masa hadapan yang mana alam dan kemajuan bergerak seiring. Datanglah ke Mersing dan rasai sendiri keistimewaannya, " katanya. 

Beliau berkata Majlis Daerah Mersing telah melaksanakan beberapa projek pembangunan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM4.277 juta, tahun ini. 

"Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan memperkukuh infrastruktur asas, memperindah persekitaran awam dan meningkatkan kemudahan kepada penduduk serta pelancong. 

"Antara projek utama dilaksanakan adalah pemasangan lampu jalan LED, menaik taraf taman rekreasi, jalan raya dan laluan pejalan kaki serta membaik pulih gerai dan tapak penjaja," katanya. 

Pelbagai projek pembangunan sedang dan telah dilaksanakan dijangka menjadi tarikan baharu termasuk Jemaluang Dairy Valley (JDV); ‘Rainforest Discovery Centre’ Peta (RDC Peta); Pusat Informasi Taman Laut Sultan Iskandar, Pulau Besar dan Jeti Pemanggil di Pulau Pemanggil. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan