KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di tanah air pada 9.15 pagi tadi selepas menyempurnakan siri lawatan ke tiga negara di benua Afrika.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata Misi Diplomasi MADANI ke benua Afrika kali ini membuahkan hasil signifikan, sekali gus mengukuhkan hubungan, membuka peluang baharu dan memperluas kerjasama strategik demi manfaat bersama.
"Kini tiba masanya untuk menterjemahkan setiap komitmen dan persetujuan ini kepada dasar serta tindakan yang membawa kesejahteraan nyata kepada rakyat dan negara," katanya.
Pesawat khas Malaysia Airlines yang membawa Perdana Menteri berlepas pulang dari State Pavilion Terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta di Nairobi pada 7 malam waktu tempatan semalam (12 tengah malam waktu Malaysia).
Lawatan tujuh hari Anwar bermula di Ethiopia dari 18 hingga 20 Nov, diikuti Afrika Selatan dari 20 hingga 23 Nov bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20, sebelum berakhir di Kenya pada 23 dan 24 Nov.
Anwar diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa, pegawai kanan kerajaan serta delegasi ketua perniagaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial