SHAH ALAM, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor mengumumkan bantuan awal sebanyak RM500 kepada 750 keluarga yang disahkan berdaftar di lima daerah dikenal pasti terkesan akibat kejadian banjir di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata setakat 11.30 pagi tadi, sebanyak 2,784 mangsa ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling, dan Klang.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 221 adalah pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula hari ini dengan kerajaan negeri menerusi Pejabat Daerah akan menyediakan pengangkutan percuma dari PPS ke pusat peperiksaan bagi memudahkan urusan pelajar yang terkesan.
"Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) juga akan menyalurkan bantuan segera kepada pelajar-pelajar ini yang kehilangan peralatan menulis dan digital akibat banjir agar urusan peperiksaan mereka dapat diteruskan dengan lebih selesa.
"Saya juga telah mengarahkan supaya usaha tebatan banjir di beberapa kawasan tumpuan dipercepat, dan usaha ini akan dipantau dan diperincikan petang ini oleh Exco Infrstruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amirudin dalam kenyataan sama turut mendoakan keselamatan seluruh rakyat negeri Selangor terutamanya mereka yang berada di PPS, selain turut menyatakan penghargaan kepada pasukan petugas yang bertungkus lumus menyalurkan bantuan segera kepada mereka yang terkesan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial