AM > BERITA

Reformasi Kerenah Birokrasi Bantu MPHTJ Catat Penjimatan, Tingkat Kecekapan

25/11/2025 03:43 PM

MELAKA, 25 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) berjaya memberikan impak ketara dalam sistem pengurusan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) meskipun belum setahun inisiatif itu dilaksanakan.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata ini khususnya dalam mempercepat dan memudahkan urusan pengemukaan pelan yang sebelum ini dianggap membebankan pemilik projek serta pegawai teknikal.

Beliau berkata kira-kira RM866,000 juga berjaya dijimatkan menerusi penghapusan kebergantungan terhadap pelan bercetak, penghantaran fizikal dan pengurusan stor yang sebelum ini memerlukan ruang serta kos penyimpanan tinggi.

“Melalui sistem digital, pemilik dan perunding kini hanya memerlukan telefon pintar dan capaian Internet untuk menandatangani serta mengesahkan pelan sebelum dihantar melalui portal OSC 3 Plus. 

“Selain menjimatkan masa dan kos, semua pihak juga tiada alasan untuk melewatkan penyediaan dokumen kerana semuanya boleh diurus dari mana-mana sahaja,” katanya kepada Bernama.

Sapiah berkata pendigitalan melalui RKB turut memberikan kesan positif kepada semua jabatan teknikal dengan penyelarasan semula proses dan aliran kerja menjadikan perkhidmatan MPHTJ lebih konsisten, responsif serta selaras dengan keperluan pembangunan semasa.

“Penjimatan melalui RKB bukan hanya menguntungkan pemilik projek, malah membantu pihak majlis mengurangkan penggunaan stor fizikal yang sebelum ini dipenuhi pelan bersaiz besar. Saya yakin apabila birokrasi di peringkat PBT lebih cekap, mudah diakses dan seiring perkembangan ekonomi, ia akan meningkatkan daya saing persekitaran pelaburan di Hang Tuah Jaya,” katanya.

Sementara itu, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata RKB merupakan antara pendekatan terbaik untuk menyantuni permasalahan rakyat yang mahukan penyelesaian segera.

Beliau berkata pelaksanaan Hari Exco Bersama Rakyat (HEBAT) yang dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada 7 Ogos lepas selaras dengan inisiatif RKB dan akan diteruskan setiap tiga bulan sebagai platform interaksi langsung antara kerajaan negeri dan rakyat.

“Banyak permohonan sebenarnya boleh diselesaikan segera dan rakyat menghargai kepantasan itu. Sama ada melalui RKB atau HEBAT, kedua-duanya adalah platform terbaik untuk wakil rakyat menangani pelbagai isu masyarakat,” katanya.

Fairul Nizam berkata dari aspek digitalisasi yang menjadi antara tunjang utama keberkesanan RKB, inovasi Sistem Umum dan Analitik Rakyat (SUARA) yang menggabungkan data raya dan kecerdasan buatan (AI) menjadi instrumen penting kerajaan negeri dalam mengumpul data awam serta maklum balas rakyat secara sistematik.

Beliau berkata SUARA, sebuah sistem e-kaji selidik dengan analitik masa nyata, membolehkan kerajaan menilai keperluan rakyat dan seterusnya menterjemahkan input berkenaan kepada penambahbaikan dasar.

“SUARA membantu menilai keperluan pembangunan di kawasan perumahan atau kampung termasuk penambahan kemudahan awam seperti sekolah, masjid dan pusat komuniti.

“Sistem ini juga membuka ruang perkongsian data dan pandangan, dengan syarat kerjasama dijalinkan bersama Institut Tun Perak (ITP) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN),” katanya.

--BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan