KOTA KINABALU, 25 Nov (Bernama) -- Semua pihak diingatkan supaya tidak memainkan isu 3R (raja, agama dan kaum) dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kerana tindakan sedemikian boleh menggugat keharmonian dan perpaduan masyarakat.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pendekatan berkempen menggunakan isu 3R ialah strategi yang "memakan tuan" dan tidak sihat untuk amalan demokrasi negara.
“Kita sangat risau dengan sebarang aktiviti berkempen yang berasaskan isu 3R. Ini tidak dibenarkan. Berkempenlah dengan sihat.
“Gunakanlah hujah dengan cerdik, cerdas kerana kita tidak mahu tindakan yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Media bagi PRN Sabah ke-17 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pemantauan kementerian terhadap kecenderungan pihak tertentu menggunakan isu 3R dalam kempen melalui media sosial.
Fahmi berkata kementerian bersama-sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius semua aduan berkaitan isu 3R dan tindakan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.
Beliau berkata ketika ini, MCMC sedang menyiasat tiga kes berkaitan penyebaran maklumat yang menyalahi undang-undang sepanjang tempoh PRN berkenaan.
Dua daripada kes itu katanya, telah dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya, manakala satu lagi kes masih dalam siasatan.
“Ketiga-tiga kes ini ada kaitan tentang sebaran sepanjang tempoh pilihan raya, tetapi saya tidak boleh maklumkan isi kandungan atau perincian kerana masih dalam siasatan.
“Perkara itu tidak semestinya berkait dengan mana-mana calon pilihan raya, tetapi mungkin lebih bersifat umum, iaitu kesalahan yang melanggar undang-undang sedia ada. Walaupun dalam tempoh berkempen, undang-undang masih (tetap) berkuat kuasa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan turut ditanya dakwaan Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa lawannya menggunakan dana awam untuk membiayai kempen media sosial menjelang hari pengundian PRN pada 29 Nov ini.
“Saya tidak tahu apa yang dia cakap. Bagi Pakatan Harapan (PH), kami tidak ada dana seperti itu,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata kesiapsiagaan infrastruktur telekomunikasi bagi menghadapi hari pengundian PRN Sabah berada pada tahap memuaskan.
Katanya, hanya beberapa lokasi, iaitu 29 pusat mengundi yang akan dipasang dengan peranti Starlink tambahan bagi memastikan capaian Wi-Fi yang baik untuk semua petugas.
“Usaha penambahbaikan ini akan siap menjelang 28 Nov. Selain itu, saya menerima taklimat tentang status menara komunikasi, dan kita dapati semua berjalan dengan baik, berfungsi dengan baik.
“Tidak berlaku apa-apa masalah blackout melibatkan menara telekomunikasi setakat ini. Kalau ada pun, dalam tempoh tiga, empat jam akan kembali beroperasi,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian, manakala undi awal berlangsung hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial