AM > BERITA

Mangsa Pertimbang Pindah Selepas Tiga Kali Dilanda Banjir

25/11/2025 05:59 PM

SHAH ALAM, 25 Nov (Bernama) -- Walaupun banjir kali ini tidak seburuk Disember 2021, kesan bencana itu masih menghantui sebahagian mangsa, terutama setiap kali hujan lebat melanda kediaman mereka.

Suri rumah Hasmah Salehon, 53, berkata masih belum pulih sepenuhnya daripada trauma kejadian lepas sehingga mempertimbangkan untuk berpindah dari Padang Jawa yang didiaminya sejak 10 tahun lepas.

Hasmah berkata banjir berulang yang dialaminya amat meletihkan fizikal dan mental, terutamanya apabila terpaksa mengemas rumah serta menggantikan barangan rosak selepas air surut.

“Setiap kali hujan hingga lewat malam, saya tak dapat tidur kerana perasaan takut masih ada. Banjir semalam mengingatkan saya kejadian 2021.

“Ini kali ketiga saya lalui situasi sama, sudah tak larat. Tahun depan mungkin saya pindah ke kampung,” katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Shah Alam, Seksyen 16 hari ini.

Pekerja swasta Maizatul Akmarnizam, 45, berkata bergegas pulang ke Padang Jawa dari pejabat sebaik dimaklumkan rumah dinaiki air untuk menyelamatkan barangan penting serta dokumen peribadi.

“Saya tiba di PPS pada 8.30 malam selepas mengemas barang di rumah. Bila lihat air semakin naik, saya minta anak mengangkat barang. Mereka faham sebab ini kali ketiga kami lalui situasi serupa sejak banjir besar 2021,” katanya. 

Sementara itu, Pegawai Tadbir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Nordiana Mohd Yunos berkata jumlah mangsa di PPS SK Shah Alam meningkat sejak diaktifkan pada 3 petang semalam.

Beliau berkata pada hari pertama, sebanyak 248 mangsa daripada 63 keluarga ditempatkan di situ dan jumlah tersebut meningkat kepada 253 mangsa daripada 65 keluarga hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan