RM1.7 JUTA DISALUR KEPADA PEKEBUN TERJEJAS KONFLIK MANUSIA-HIDUPAN LIAR
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan telah menyalurkan RM1.7 juta menerusi Inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) kepada pemilik kebun dan penternak yang terjejas setakat September lepas.
Menteri Perladangan dan Komoditi yang memangku portfolio Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kerajaan juga berusaha memastikan manusia dan haiwan liar dapat hidup bersama.
“Contohnya dalam isu gajah, dalam Rancangan Malaysia Ke-13, kerajaan memperuntukkan RM52 juta untuk dibuat pagar-pagar elektrik dengan harapan ia tidak mengganggu kawasan ladang kelapa sawit, getah dan sebagainya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) berhubung status pampasan wajar yang akan diberikan kepada pemilik kebun dan penternak di kawasan Parlimen Gerik, yang tanaman dan ternakan mereka dimusnahkan oleh hidupan liar.
-- BERNAMA
PPTM 2025-2035 PERSIAPAN HADAPI TRANSISI PASARAN KERJA - MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 menggariskan langkah persediaan bagi menghadapi fasa transisi pasaran kerja yang menyaksikan banyak jawatan akan dijumudkan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata pendekatan yang diperkenalkan dalam pelan itu meningkatkan kebolehpasaran graduan mengikut keperluan industri, seterusnya dapat meningkatkan daya guna tenaga di negara ini.
Beliau berkata berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) kira-kira 250,000 jawatan dijangka dijumudkan, yang mencerminkan perubahan dinamik dalam keperluan industri.
“Situasi ini sedikit sebanyak menjadi faktor penyumbang kepada penurunan kadar guna tenaga berkemahiran ketika ini… kami harap dengan pendekatan-pendekatan dalam PPTM ini, kami akan dapat meningkatkan daya guna tenaga kita selepas ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang ingin tahu faktor penurunan kadar guna tenaga berkaitan kemahiran dalam kalangan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada 35.7 peratus berbanding 37.3 pada 2022.
-- BERNAMA
LTAT SEMAK SEMULA RANGKA KERJA PERUMPUKAN ASET STRATEGIK
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sedang melaksanakan semakan semula rangka kerja perumpukan aset strategiknya sebagai antara usaha memperkukuh dan meningkatkan kelestarian portfolio pelaburan bagi jangka panjang.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata rangka kerja itu sedang diteliti oleh Kementerian Kewangan untuk kelulusan akhir Menteri Kewangan sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya menerusi 'Projek Bumi'.
“Melalui Project EARTH (Projek Bumi) ini juga LTAT sedang mengambil tindakan mengurangkan jumlah pinjaman anak-anak syarikat seperti Boustead Plantation supaya LTAT akan mendapat lebihan dana untuk meningkatkan prestasi pelaburan.
“Kini terdapat tiga anak syarikat LTAT iaitu Boustead Holdings Berhad, Pharma Niaga Berhad dan Boustead Plantation Berhad yang sedang melalui proses pemulihan menerusi pemerkasaan operasi di bawah pelan ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang ingin tahu langkah-langkah strategik yang telah diambil bagi menentukan LTAT dapat membayar dividen seperti pada 2017 dan sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial