AM > BERITA

JKM Laksana Projek Fizikal, Program Sosial Di Kampung Kedah

25/11/2025 07:41 PM

PARIT BUNTAR, 25 Nov (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjaya melaksanakan tujuh projek fizikal dan 14 program sosial yang memberikan manfaat kepada penduduk di sekitar Kampung Kedah, di sini menerusi inisiatif Program Kampung Angkat MADANI.

Ketua Pengarah JKM Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata pihaknya melaksanakan projek kemudahan asas termasuk menaik taraf dataran, pagar dan kerja-kerja berkaitan di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Taman Seri Tenggara.

Beliau berkata JKM turut menaik taraf gelanggang sepak takraw Kampung Kedah, menaik taraf Dewan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Taman Seri Tenggara, menaik taraf mini depoh simpanan barang bencana di Kampung Kedah serta pembinaan taman rekreasi mini dan monumen Kampung Angkat MADANI di Kampung Kedah.

Selain itu, gazebo Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Bukit Gantang turut dibina selain membaik pulih tandas mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan tangki septik Surau Nur Jihad Kampung Kedah.

"Kesemua projek ini dapat melengkapkan kemudahan asas kampung bagi keperluan penduduk setempat melakukan aktiviti riadah, sosial dan kerohanian,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutupan Pantuk Tirai @ Program Kampung Angkat MADANI di Dewan PDT Taman Sri Tenggara, di sini hari ini.

Che Murad Sayang berkata pihaknya turut melaksanakan 14 program sosial meliputi program berbentuk psikologi komuniti, advokasi kanak-kanak, sokongan kepada warga emas dan OKU serta program intergenerasi.

Beliau berkata JKM komited untuk terus menyokong pembangunan komuniti melalui bantuan profesional, program intervensi sosial dan sokongan teknikal kepada masyarakat.

"Saya percaya kemudahan yang telah dinaik taraf dapat digunakan sebaik mungkin oleh penduduk setempat, selain dapat memelihara semangat kesukarelawanan dan meneruskan hubungan baik dengan agensi kerajaan,” katanya.

Program Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar dalam aspek menyediakan kemudahan asas diperlukan.

Pendekatan whole of nation yang digerakkan dalam Kampung Angkat MADANI juga memberikan peluang kepada penjawat awam pelbagai kementerian dan agensi untuk turun padang secara langsung, sekali gus mengubah cara kerajaan berinteraksi dengan rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan