KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Majlis Media Malaysia (MMM) menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap sebarang bentuk keganasan atau intimidasi terhadap petugas media susulan insiden menimpa wartawan sukan dan Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Haresh Deol, hari ini.
MMM dalam kenyataan menegaskan bahawa tindakan sedemikian, tanpa mengira motif boleh membawa implikasi lebih luas terhadap kebebasan media dan kemampuan wartawan menjalankan tugas secara bebas dan beretika.
“Keselamatan petugas media adalah asas kepada kewujudan ekosistem media yang bebas dan bertanggungjawab. Semua pihak digesa untuk menghormati ruang kerja wartawan serta mengelakkan tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan mereka.
"Insiden yang menghalang tugas kewartawanan mempunyai implikasi terhadap kepentingan awam, menjejaskan penyampaian maklumat tepat dan bebas tekanan kepada masyarakat,” menurut MMM.
Menurut kenyataan itu, MMM memandang serius insiden membabitkan wartawan veteran itu dan percaya pihak berkuasa akan menjalankan siasatan sewajarnya secara adil dan profesional.
Sebagai badan kawal selia kendiri industri media, MMM memaklumkan komited untuk terus mempromosikan standard keselamatan, profesionalisme dan integriti dalam sektor media.
Terdahulu, Haresh, yang juga pengasas bersama portal berita TwentyTwo13, memaklumkan melalui hantaran di platform X bahawa beliau diserang ketika menuju ke keretanya manakala seorang lagi individu merakam insiden terbabit menggunakan telefon bimbit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial