AM > BERITA

Penyelidik UMPSA Bangunkan "Paperbot" Mampu Hasilkan Tenaga Baharu Berasaskan Kelembapan

26/11/2025 10:13 AM

KUANTAN, 26 Nov (Bernama) -- Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya membangunkan filem aktuator (penggerak) pintar berasaskan kertas “Paperbot” pertama di Malaysia yang mampu bergerak sendiri apabila terdedah kepada kelembapan berterusan.

Ketua Projek Dr Zulhelmi Ismail berkata aktuator lembut mudah alih berasaskan kertas dengan menggunakan teknik pensil dan origami itu, berkeupayaan bertindak balas dengan kelembapan udara sekali gus berpotensi menjadi sumber tenaga baharu bagi menggerakkan robot masa hadapan.

“Paperbot mampu mencapai kelajuan maksimum lapam milimeter per saat (mm/s) dan boleh diprogramkan untuk bergerak mengikut empat trajektori berbeza melalui corak reka bentuk tertentu. 

“Keupayaan ini membuka potensi besar dalam bidang robotik lembut, terutamanya untuk aplikasi yang memerlukan pergerakan fleksibel dan autonomi dalam persekitaran kompleks,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan kepada Bernama. 

Projek yang dijalankan di Pusat Kecerdasan Bahan Termaju itu turut dianggotai ahli penyelidik ChM Dr Izan Izwan Misnon, Felo Pasca Doktoral Dr Abu Haniffa Abdullah dan pelajar Pascasiswazah Doktor Falsafah, iaitu Ainizar Mustapa dan Wan Farhana W Idris.

Zulhelmi berkata penggunaan kelembapan sebagai sumber tenaga amat menarik memandangkan air dalam bentuk wap sentiasa wujud di persekitaran.

”Banyak kajian menunjukkan bahawa pengembangan dan pengecutan bahan lembut akibat perubahan kelembapan boleh menghasilkan gerakan yang berguna untuk menggerakkan peranti kecil,” katanya. 

Menurut kenyataan itu, projek itu sejajar dengan keperluan robotik masa depan serta agenda Revolusi Industri 4.0, khususnya dalam pembangunan aktuator ringan, fleksibel dan menjimatkan tenaga.

“Kajian mengenai Paperbot telah diterbitkan dalam jurnal saintifik ‘Sensors and Actuators B: Chemical’ pada Julai 2025, menunjukkan kepentingan penyelidikan dan pengiktirafan sebagai rujukan pada peringkat antarabangsa,” tambah kenyataan itu. 

UMPSA turut memaklumkan, kumpulan penyelidik berkenaan sedang membangunkan Paperbot versi lebih kecil bagi tujuan penghantaran ubat atau pengangkutan nanobahan dalam ruang sempit, selain memfokuskan penggunaan grafin sebagai bahan utama dalam robotik generasi akan datang.

“Penyelidikan itu turut menerima sokongan universiti menerusi geran UMPSA First in the World Flagship seiring dengan tema Teknologi Untuk Masyarakat serta mengukuhkan kedudukan universiti sebagai peneraju teknologi termaju di Malaysia,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan