AM > BERITA

Aplikasi TuJu Bantu Pengguna Rancang Perjalanan Lebih Efisien

26/11/2025 05:26 PM

SEREMBAN, 26 Nov (Bernama) -- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan kerjasama Prosignal Consortium Sdn Bhd memperkenalkan Aplikasi Navigasi Lebuh Raya TuJu sebagai penyampai maklumat dan membantu pengguna merancang perjalanan dengan efisien serta selamat.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata aplikasi itu dilengkapi pelbagai navigasi pintar termasuk Navigasi Tepat iaitu menyediakan maklumat laluan, jarak perjalanan dengan anggaran masa ketibaan (ETA) masa nyata.

Selain itu, pengguna memperoleh maklumat tol dan trafik masa nyata, kemudahan kawasan Rehat dan Rawat (R&R), akses kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung dan bantuan kecemasan.

“TuJu dibangunkan untuk memudahkan perancangan perjalanan, menjadi platform bantuan kecemasan yang pantas serta meningkatkan kecekapan operasi konsesi lebuh raya. 

“Melalui objektif ini, TuJu berfungsi sebagai inisiatif pintar yang menggabungkan teknologi dan keselamatan bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih mudah, cepat dan selamat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran aplikasi berkenaan di kawasan R&R Seremban Arah Selatan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Sazali Harun, Pengerusi Prosignal Consortium Sdn Bhd Datuk Abdul Rashid Asari.

Beliau berkata aplikasi yang boleh dimuat naik di Google Play Store dan Apple App Store itu turut menjadi subsektor aplikasi lebuh raya bertol dalam Aplikasi MyJalan, memaparkan integrasi digital kerajaan bagi kemudahan rakyat.

Nanta berkata TuJu turut diintegrasikan dengan MyJalan bagi membolehkan pertukaran maklumat dan aduan secara terus, sekali gus membentuk rangka kerja lebuh raya pintar yang lebih responsif.

“Integrasi ini membolehkan analitik data masa nyata dilaksanakan, membantu pihak pengurusan mengenal pasti corak trafik, lokasi berisiko serta merangka langkah mitigasi dengan lebih tepat dan cepat,” katanya.

Beliau berkata dalam jangka masa panjang, usaha itu menyokong pembangunan hab mobiliti pintar negara selaras dengan Pelan Hala Tuju ITS 2030, sekali gus memperkukuh aspirasi Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi dan berdaya saing. 

Nanta berkata inisiatif TuJu membuktikan komitmen kerajaan dan industri dalam memastikan lebuh raya tempatan terus selesa, selamat dan seiring transformasi digital global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan