KUANTAN, 26 Nov (Bernama) -- Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) muncul universiti pertama di negara ini yang membuka pusat peperiksaan untuk calon persendirian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang Ahmad Zamri Md. Isa berkata ia berjaya direalisasikan setelah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di bawah kerajaan Pahang itu memperoleh kelulusan rasmi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Inisiatif ini menjadikan UniPSAS antara agensi luar KPM yang diberi pengecualian khas untuk mengendalikan pusat peperiksaan calon persendirian.
"Pusat peperiksaan yang diadakan di dewan ini mempunyai kapasiti sebanyak 200 calon SPM tetapi yang mendaftar kali ini sebanyak 118 individu bagi mengambil kertas peperiksaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ahmad Zamri berkata kewujudan pusat peperiksaan seperti UniPSAS memberikan pilihan baharu kepada calon persendirian yang sebelum ini perlu ke sekolah tertentu, sedangkan proses persekolahan masih berjalan dan ruang adalah terhad.
“UniPSAS memenuhi syarat sebagai pusat peperiksaan yang tenang, teratur dan berada dalam persekitaran akademik yang kondusif,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 1,726 calon persendirian di seluruh Pahang yang menduduki peperiksaan di 39 pusat peperiksaan di negeri ini bermula dari semalam hingga 23 Dis depan.
Sementara itu, Naib Canselor UniPSAS Profesor Datuk Dr. Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata pihaknya turut menawarkan penginapan di kampus bagi calon persendirian, khususnya dari sekolah pondok dan maahad tahfiz seluruh Pahang yang memerlukan kemudahan tambahan pada tahun hadapan.
“Di negeri ini banyak sekolah pondok dan ini peluang untuk kita (UniPSAS) memberikan ruang kepada mereka (calon persendirian) ini. Di samping menduduki peperiksaan, calon boleh duduk di tempat mereka ambil peperiksaan,” katanya.
Beliau berkata usaha itu selaras dengan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitikberatkan masa hadapan pelajar terlibat selain menjadi tanggungjawab universiti sebagai institusi pendidikan milik penuh kerajaan Pahang.
"Pada tahun hadapan, jika diperlukan kita boleh menawarkan 260 calon persendirian untuk menjalani peperiksaan SPM di sini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial