AM > BERITA

DBKL Giat Laksana Pembersihan Di Lokasi Tanah Runtuh Taman United

26/11/2025 08:10 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) giat melaksanakan kerja-kerja pembersihan susulan insiden kegagalan struktur penahan yang mengakibatkan tanah runtuh di Taman United, Seputeh di sini, Isnin lepas.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerja-kerja itu termasuk pengeluaran batu-batu kecil dan bongkah batu besar bagi memastikan kawasan berkenaan berada dalam keadaan selamat.  

“Sebaik sahaja kerja pembersihan selesai, kerja-kerja pembaikan cerun akan dimulakan dan dijangka dalam tempoh tiga hingga empat hari, bergantung kepada keadaan cuaca,” menurut kenyataan itu.

Menurut DBKL, pihak perunding geoteknikal turut akan menjalankan siasatan tanah dan menyediakan laporan geoteknikal bagi menilai tahap keselamatan cerun.

Penduduk terjejas hanya akan dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing selepas laporan tersebut mengesahkan keadaan cerun selamat untuk diduduki.

Pada 24 Nov lepas, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung insiden membabitkan runtuhan tanah cerun sepanjang kira-kira 60 meter itu pada 11.02 pagi.

Penghuni dua blok pangsapuri membabitkan 104 unit rumah diarahkan mengosongkan kediaman susulan pergerakan tanah di lokasi kejadian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan