ALOR SETAR, 26 Nov (Bernama) -- Pasukan sukarelawan Malaysia berdepan cabaran untuk membawa keluar rakyat negara ini yang terkandas akibat banjir di Hat Yai, Thailand apabila ada antara mereka didakwa enggan berpindah kerana menunggu ahli keluarga atau tidak mahu meninggalkan bagasi.
Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani Leong Beng Tat berkata tindakan segelintir mangsa itu sekali gus menjejaskan kelancaran operasi membawa keluar rakyat Malaysia dari bandar berkenaan.
“Memandangkan ruang bot terhad dan prinsip utama ialah menyelamatkan nyawa, kami tidak dapat membawa keluar bagasi dalam jumlah yang besar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata setakat tengah hari tadi, seramai 1,006 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari bandar itu dengan bantuan pasukan sukarelawan Malaysia.
Leong berkata paras air di Hat Yai mula susut awal pagi ini yang membolehkan pasukannya memasuki kawasan terjejas dengan membawa lapan bot penyelamat dan beberapa lori yang sarat dengan bekalan bantuan.
Beliau berkata anggota pasukan sukarelawan kini bertungkus lumus untuk memastikan semua rakyat Malaysia dibawa pulang dengan selamat.
“Penyusutan paras air di beberapa kawasan membolehkan pasukan sukarelawan menyalurkan keperluan asas serta membawa keluar rakyat Malaysia khususnya warga emas, wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Leong turut meminta orang ramai supaya tidak membuat panggilan yang tidak mendesak kepada pasukan sukarelawan bagi mengelakkan gangguan terhadap operasi.
“Empat telefon bimbit pasukan operasi telah rosak setelah ditenggelami air namun pasukan tetap meneruskan tugas tanpa henti walaupun berdepan keadaan mencabar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial