AM > BERITA

Konsert "The Symphony Of Friendship 2.0" Lambang Kerjasama Kukuh Malaysia–Singapura

27/11/2025 12:09 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah Konsert The Symphony of Friendship 2.0 merupakan simbol kerjasama dan persahabatan yang kukuh antara Malaysia dan Singapura.

Seri Paduka Baginda bertitah konsert berkenaan merupakan lambang kerjasama, persahabatan dan perkongsian matlamat yang kukuh serta berkekalan, selain meraikan keupayaan muzik untuk menyatupadukan masyarakat dan memupuk persefahaman lebih mendalam antara kedua-dua negara.

“Kita semua sedar tentang ketidaktentuan, bencana alam semula jadi serta konflik yang membelenggu pelbagai rantau di dunia. Namun muzik, yang tidak terikat kepada bangsa, kaum, pangkat atau latar belakang, mampu menyentuh dan mengingatkan kita semua tentang nilai-nilai kemanusiaan,” titah Seri Paduka Baginda ketika berkenan menghadiri konsert itu di Dewan Filharmonik Orkestra, KLCC, malam tadi.

Maklumat dan foto keberangkatan Seri Paduka Baginda ke konsert dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Konsert itu merupakan penganjuran kali kedua oleh Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dan Yayasan Temasek, selepas edisi pertama yang diadakan pada 2023 di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House, Johor Bahru.

Edisi tahun ini menampilkan persembahan inklusif melibatkan Malaysia Philharmonic Youth Orchestra (MPYO), pemuzik Kementerian Pendidikan Malaysia dan The Purple Symphony dari Singapura, selain penampilan istimewa Jaclyn Victor, Nadeera dan Suki Low.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datin Paduka Ho Ching, isteri bekas Perdana Menteri Singapura Datuk Lee Hsien Loong.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ Hishamudin Abd Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Temasek Singapura Ng Boon Heong.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan