AM > BERITA

Ketegangan Hubungan Kerajaan Persekutuan-Negeri Jejas Kesejahteraan Rakyat - PM Anwar

27/11/2025 02:14 PM

TUARAN, 27 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketegangan dan ketidaksefahaman antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah dikhuatiri hanya akan menjejaskan masa hadapan pembangunan negeri, selain turut memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat.

Justeru, Anwar menegaskan hubungan kukuh serta kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah adalah amat penting, bagi memudahkan segala urusan berkaitan tuntutan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk melaksanakan pemulangan 40 peratus hasil negeri pada kadar segera.

“Kita perlukan kerajaan Persekutuan yang kuat, kerajaan negeri yang kuat, serta sebuah kerajaan negeri di Sabah yang dapat bekerjasama dengan baik dengan kerajaan Persekutuan demi rakyat.

“Ini cara kita bekerja, kerana kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji dan kerajaan Persekutuan, itu baik. Senang kita kerja, senang kita uruskan dan senang kita laksanakan MA63.

“Di Parlimen saya umumkan, ya, kerajaan Persekutuan akan menunaikan komitmennya dan akan melaksanakan 40 peratus, itu serta-merta!, Mahu cakap-cakap marah-marah apa lagi?,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Temu Rapat Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran di Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Anwar juga menegaskan bahawa beliau tidak setuju dengan kaedah berpolitik berasaskan permusuhan dan kebencian, kerana yang menderita dibelenggu kesusahan dan kemiskinan ialah rakyat, sedangkan pemimpin politik hidup mewah dengan kekayaan mereka.

Mengulas lanjut mengenai pemulangan 40 peratus hasil Sabah, Anwar berkata kerajaan Sabah telah mengambil langkah proaktif dengan membawa perkara itu melalui saluran sewajarnya dan proses perbincangan mengenainya sedang berjalan.

Anwar berkata usaha menyelesaikan masalah infrastruktur Sabah seperti air dan elektrik juga turut diberi perhatian serius oleh kerajaan Persekutuan menerusi beberapa pembinaan projek empangan, yang dijangka siap tahun depan.

Perdana Menteri berkata kerajaan Persekutuan juga telah mengembalikan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah, dengan menyalurkan peruntukan RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik di negeri itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan