AM > BERITA

Sistem eStrata Dilancarkan, Perkukuh Pengurusan Perumahan Strata

27/11/2025 03:30 PM

CYBERJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Sistem eStrata iaitu platform bersepadu untuk mengurus, memantau dan menyimpan data perumahan dengan lengkap, teratur serta selamat yang dilancarkan hari ini akan mula digunakan sepenuhnya pada tahun depan.

Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata eStrata adalah platform baharu menggantikan sistem eCOB yang selama ini dikemas kini secara manual oleh Pesuruhjaya Bangunan (COB) dilantik pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pembangunan sistem baharu ini bertepatan dengan keperluan semasa untuk mewujudkan satu platform pengurusan strata di peringkat nasional lebih menyeluruh, tersusun dan efisien, sekali gus memudahkan tugas pentadbiran serta pemantauan COB di seluruh Semenanjung Malaysia dan Labuan.

“Sistem eStrata bukan sekadar sistem digital tetapi ia adalah revolusi dalam pengurusan strata,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Citra Strata 2025 dan pelancaran eStrata di sini hari ini.

Aiman Athirah berkata eStrata adalah  platform bersepadu yang menyimpan data lengkap dan teratur, memastikan setiap maklumat penting seperti pemilikan petak, laporan kewangan, minit mesyuarat, undang-undang kecil dan insurans bangunan dapat direkodkan dengan kemas, tepat dan selamat. 

“Lebih menarik, sistem ini turut diintegrasikan dengan Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS) agar rekod pemaju dan pemilik dapat direkodkan lebih awal dan lebih tepat,” katanya.

Beliau berkata sistem eStrata juga diperkasakan melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang diintegrasikan dengan OpenAI. 

Melalui sistem ini, COB dan badan pengurusan boleh mendapatkan panduan pengurusan secara langsung berdasarkan pengetahuan KPKT. 

“Pangkalan data pusat ini akan membantu kerajaan merangka dasar lebih tepat, responsif dan menyeluruh,” katanya.

Pada sidang media berasingan, Aiman Athirah berkata sistem eStrata akan digunakan oleh 157 PBT seluruh negara termasuk pemaju. 

“Insya-Allah, kita yakin dan percaya isu-isu yang terkait dengan urusan strata ini akan dapat diuruskan dengan lebih baik dan berkesan (menerusi sistem eStrata ini),” katanya.

Sistem eStrata dibangunkan dengan fungsi utama untuk memudah cara tugas pentadbiran serta meningkatkan keupayaan pemantauan COB di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. 

Sistem digital ini membolehkan pemantauan lebih cekap dan komprehensif terhadap pemaju dan badan-badan pengurusan, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757].

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan