AM > BERITA

JAS Peruntuk RM100,000 Laksana Dua Projek SAM Di SK Kampung Tun Razak

28/11/2025 09:45 AM

MELAKA, 27 Nov (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) memperuntukkan RM100,000 bagi melaksanakan dua projek di bawah inisiatif Sekolah Angkat MADANI (SAM), di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tun Razak, Bukit Katil.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata dua projek berkenaan ialah Projek Pembinaan Rumah Hijau dan Akuaponik dan Projek Pendigitalan Pusat Sumber Sekolah.

“Sekolah ini dipilih memandangkan telah menjadi sekolah berorientasikan kelestarian dan diharapkan dengan program seperti ini akan dapat meningkatkan amalan penjagaan alam sekitar dalam kalangan seluruh warga sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Sekolah Angkat MADANI serta pelancaran Buku Garis Panduan Pelaksanaan dan Penilaian Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS), yang turut dihadiri Pengarah JAS Melaka Rosli Mustafa dan Guru Besar SK Kampung Tun Razak Norazman Hussin di sini hari ini.

Sementara itu, dalam ucapannya Wan Abdul Latiff berkata SLAAS akan menjadi rujukan rasmi program SLAAS sesi 2025/2026 dan dirangka dengan kerjasama erat antara JAS, Kementerian Pendidikan serta Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkata berdasarkan rekod sehingga 25 Nov, sebanyak 1,598 sekolah mendaftar untuk program SLAAS dan pihaknya menyasarkan peningkatan 30 peratus daripada keseluruhan 10,220 sekolah di seluruh negara, untuk menyertai program berkenaan.

“Usaha ini diharap dapat meluaskan penglibatan sekolah dalam membudayakan amalan lestari dan menjadikan setiap sekolah sebagai ejen perubahan alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, JAS dalam kenyataan memaklumkan program SAM merupakan inisiatif Kementerian Kewangan (MOF) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM), yang menyediakan peruntukan RM100,000 kepada setiap sekolah terpilih bagi melaksanakan projek kelestarian berdasarkan garis panduan ditetapkan. 

Kenyataan itu memaklumkan SK Kampung Tun Razak merupakan sekolah ke-16 di Melaka yang menerima faedah di bawah program berkenaan, sekali gus memperkukuh jaringan sekolah berorientasikan kelestarian di negeri itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan