KIMANIS, 27 Nov (Bernama) -- Sabah bakal muncul negeri pertama di negara ini menerima dua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) KEMAS khas Autisme, masing-masing di Kota Kinabalu dan Sandakan, yang akan dibuka mulai tahun hadapan sebagai projek fasa awal sebelum diperluas ke seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keutamaan itu diberikan kepada Sabah memandangkan keluasan negeri dan keperluan menyediakan akses pendidikan awal yang lebih inklusif kepada kanak-kanak autisme.
“Untuk autisme, untuk di Sabah kita akan bagi keistimewaan. Kita mula dua dulu dan kita akan lihat, jika di kawasan Tawau memerlukan satu lagi, kita akan buat tiga untuk tahun hadapan, 2026,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sentuhan Kasih Desa @ Bongawan di sini hari ini.
Beliau berkata langkah berkenaan penting kerana sebelum ini ramai ibu bapa terpaksa menjaga anak autisme di rumah atau menghantar mereka ke pusat swasta yang menelan kos tinggi serta kurang mampu ditanggung penduduk luar bandar.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata negeri lain hanya memulakan pelaksanaan dengan satu Tabika Autisme, namun Sabah didahulukan dengan dua pusat sebagai model permulaan.
“Tahun hadapan satu negeri satu sahaja, tetapi di Sabah kita mula dua. Pada 2027 seluruh daerah di Malaysia ini kita akan buat satu tabika autisme bagi satu daerah.
“Kita akan memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan melalui Belanjawan 2027 untuk memperbanyak tadika autisme di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian Sabah dalam program Tabika KEMAS Pra Tahfiz, yang menerima sambutan luar biasa daripada masyarakat negeri itu.
“Pada peringkat awal, kita dapati apabila kelas KEMAS dimulakan dengan empat kelas sahaja, kita khuatir tidak dapat sambutan daripada Sabah. Sabah negeri pelbagai agama, pelbagai kaum dan subetnik lebih daripada 30 tetapi kesyukuran saya kepada Allah bahawa Tabika KEMAS Pra Tahfiz di Sabah yang terbaik di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata kejayaan itu turut menggambarkan keterbukaan masyarakat pelbagai latar etnik dan agama di Sabah terhadap program pendidikan awal berteraskan nilai dan disiplin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial