MARANG, 27 Nov (Bernama) -- Pembangunan pesat projek perumahan dan masalah perparitan didakwa menjadi punca banjir luar biasa di kawasan Bukit Payong di sini.
Penghulu Mukim Bukit Payong Ahmad Zafiri Ahmad Zaki berkata banjir tahun ini disifatkan sebagai paling teruk dalam tempoh 25 tahun.
Beliau berkata ia dipercayai berpunca daripada projek perumahan yang dibangunkan di kawasan paya yang selama ini menjadi pusat tadahan air sejak beberapa tahun lepas.
“Kawasan paling terjejas ialah kawasan pekan Bukit Payong, Kampung Surau Haji Mat Zain, Kampung Batu 9 dan Kampung Sena Rendang.
“Sebelum ini banjir paling tinggi pun hanya paras betis tetapi tahun ini melebihi paras pinggang. Jumlah mangsa yang dipindahkan juga biasanya hanya sekitar 200 orang, tetapi tahun ini melebihi 800 orang,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Payong di sini.
Ahmad Zafiri berkata air yang naik secara mendadak juga menyebabkan PPS menjadi sesak sehingga menyebabkan penghuni kurang selesa.
Beliau bagaimanapun berkata masalah itu berjaya diatasi dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi pusat dan negeri.
“Saya bagaimanapun difahamkan masalah daripada projek sistem pengangkutan ini bersifat sementara sahaja. Selepas projek siap, longkang besar yang dibina akan melancarkan aliran air, sekali gus mengelak daripada masalah banjir,” katanya.
Sementara itu, seorang mangsa Nur Halimatul Nor Azlan, 31, dari Taman Al-Amin berkata hujan lebat berterusan selama dua hari menyebabkan air naik secara mendadak sehingga mencecah paras paha di luar rumah.
Nur Halimatul berkata beliau yang masih dalam tempoh berpantang hanya menyedari kejadian itu setelah dimaklumkan jiran yang datang mengetuk pintu rumahnya.
“Sepanjang tujuh tahun saya tinggal di sini, air tak pernah naik sehingga ke paras paha. Jadi, saya pun tak buat persiapan awal.
“Saya sempat selamatkan barang-barang penting sahaja kerana air naik dengan cepat. Tak tahulah keadaan dalam rumah macam mana kerana kami keluar dengan tergesa-gesa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial