PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 45 anggota daripada 13 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang giat melaksanakan misi bantuan kemanusiaan Operasi Banjir Hat Yai, Thailand sejak 21 Nov lepas.
Dalam kenyataan hari ini, KPKT memaklumkan penyertaan pasukan PBS dari Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor dalam misi rentas sempadan itu membuktikan semangat kesukarelawanan dan keberanian pasukan berkenaan dalam membantu rakyat Malaysia yang terkandas akibat bencana banjir di wilayah berkenaan.
"Semangat kebersamaan tanpa mengira negeri, latar belakang dan jarak ini amatlah dihargai," menurut kenyataan itu.
KPKT turut merakamkan penghargaan kepada badan bukan kerajaan, United Sikh Seri Muda yang menyalurkan bantuan logistik, termasuk unit perubatan bergerak dan bekalan makanan bagi menyokong operasi pasukan di lapangan.
Menurut kenyataan itu, penggunaan aset operasi seperti bot penyelamat, kenderaan pacuan empat roda, lori logistik serta penyelarasan rapi melalui pangkalan operasi di Sadao dan Hat Yai telah membolehkan misi dilaksanakan dengan teratur, cekap dan profesional.
KPKT memaklumkan rakyat Malaysia yang terkandas sedang dibantu dibawa keluar secara berperingkat, dengan sebahagian besar dijangka kembali ke tanah air bermula esok.
KPKT turut menyanjung tinggi keberanian serta dedikasi semua anggota PBS yang terlibat, sambil menyifatkan mereka sebagai rakan strategik penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan komuniti serta memperluas jaringan sokongan bencana di peringkat tempatan dan antarabangsa.
"Kementerian merakamkan ucapan terima kasih atas jasa, pengorbanan dan komitmen semua pihak yang memastikan misi ini dapat digerakkan dengan selamat dan berkesan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial