AM > BERITA

Jentera, Aset Selangor Siap Siaga Hadapi Ribut Tropika Senyar - Amirudin

27/11/2025 09:38 PM

‎SHAH ALAM, 27 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor mengaktifkan seluruh jentera dan aset pada setiap peringkat sebagai persediaan menghadapi ribut tropika Senyar yang dijangka menyebabkan hujan lebat berterusan dan angin kencang di negeri itu.

‎Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari  berkata dengan jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) sebanyak 1,173, Selangor berkemampuan untuk menampung keperluan hampir 244,000 penduduk dan sedia untuk digunakan jika fenomena itu menyebabkan paras air naik mendadak. 

‎"Ini termasuk sekolah, masjid, dewan, dan balai raya, dan semua PPS ini ‎dilengkapi keperluan asas yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

‎Amirudin berkata sebanyak 344 jentera meliputi kenderaan pacuan ‎empat roda dan lori muatan berat, serta 227 unit bot telah ditempatkan di ‎kawasan strategik di seluruh negeri bagi tujuan penghantaran barang keperluan asas serta operasi mencari dan menyelamat mangsa bencana. 

‎Beliau berkata arahan juga telah dikeluarkan kepada agensi berkaitan supaya pemeriksaan keselamatan dibuat kepada setiap unit kenderaan terbabit supaya dapat terus dikerah untuk menghadapi sebarang situasi kecemasan.

‎"Kita juga mempunyai 45 stesen amaran siren di seluruh negeri yang akan ‎diaktifkan sekiranya dijangka paras air mencecah paras bahaya, dan saya ‎menyeru setiap rakyat Selangor untuk berada dalam keadaan siap siaga ‎bagi sebarang amaran serta arahan pemindahan yang diberikan oleh ‎pegawai berkuasa ataupun ketua komuniti masing-masing.

‎"Sekiranya siren di kawasan perumahan anda dibunyikan dan arahan pemindahan diberikan, patuhi arahan pemindahan dan daftarkan diri anda sekeluarga di PPS yang terdekat," katanya.

‎‎Dalam kenyataan sama, Amirudin menegaskan keutamaan kerajaan negeri adalah untuk memastikan keselamatan setiap penduduk sepanjang fenomena berkenaan yang dijangka bermula seawal tengah malam ini hingga Sabtu.

‎Beliau berkata kerajaan negeri akan terus berhubung rapat dengan Jabatan Meteorologi menerusi Unit Pengurusan Bencana Negeri serta Agensi Pengurusan Bencana Negara, dan sebarang pemakluman rasmi akan dikemas kini mengikut perkembangan pada platform media sosial utama Jabatan Meterologi serta laman web www.met.gov.my.

‎-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan