AM > BERITA

Ribut Tropika Senyar: Semua Penerbangan AirAsia Beroperasi Ikut Jadual

28/11/2025 12:55 AM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- AirAsia memberikan jaminan kepada penumpang semua penerbangan beroperasi mengikut jadual meskipun berdepan kesan ribut tropika Senyar selain mengaktifkan pemantauan dan penyelarasan krisis pada tahap tinggi.

Langkah pengaktifan pemantauan dan penyelesaian krisis tahap tinggi itu bagi memastikan perjalanan  tidak terganggu serta keselamatan penumpang terjamin.

Dalam kenyataan pada malam ini, menurut syarikat penerbangan itu ribut berkenaan, seperti yang dinyatakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang bergerak ke arah barat Semenanjung Malaysia bermula malam ini hingga 29 Nov, membawa hujan lebat berterusan, angin kencang dan cuaca tidak stabil.

Ia dijangka menjejaskan beberapa negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Johor.

“Kami ingin memberikan jaminan kepada pelanggan bahawa semua langkah operasi telah diambil bagi memastikan kelancaran perjalanan.

“Semua penerbangan ketika ini beroperasi seperti dijadualkan, dan kami sedang memantau rapat situasi berkenaan bersama pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan keadaan penerbangan yang selamat,” menurut kenyataan itu.

AirAsia turut menggesa penumpang supaya senantiasa berwaspada kerana cuaca buruk boleh menyebabkan banjir dan berpotensi menjejaskan penerbangan atau operasi lapangan terbang.

“Mereka yang melakukan perjalanan ke atau dari kawasan terjejas di Semenanjung Malaysia dalam tempoh ini dinasihatkan tiba lebih awal di lapangan terbang.

“Penumpang juga dinasihatkan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai penerbangan melalui aplikasi AirAsia MOVE, AskBo, serta e-mel berdaftar masing-masing,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan