ALOR SETAR, 28 Nov (Bernama) -- Seorang suami buntu apabila sudah seminggu terputus hubungan dengan isteri dan anak-anaknya, berikutan banjir yang melanda Hat Yai, Thailand.
Shahrizal Kamarudin, 43, dari Ampang, Selangor berkata kali terakhir mendengar khabar daripada isterinya Maimuna Asnan, 37, ialah pada 22 Nov, dan dimaklumkan isterinya selamat berlindung di sebuah inap desa Pani House.
"Kami sepatutnya bercuti pada 21 hingga 24 Nov. Pada Jumaat (21 Nov) kami sampai 4 petang, sempat ke Central Hatyai dan sebelum balik inap desa, singgah makan.
"Sampai di inap desa 10 malam (waktu Thai), air kawasan jalan depan rumah memang dah naik sikit. Tanya tuan rumah selamat tak kawasan ni, dia cakap esok pagi kalau hujan lagi dia pulangkan duit, dan cari hotel lain," katanya ketika dihubungi Bernama.
Shahrizal berkata pada 3.30 pagi, pemilik inap desa meminta dia mengalihkan kereta ke tempat lebih tinggi iaitu kira-kira 1.5 kilometer dari tempat mereka menginap.
Bagaimanapun, Shahrizal gagal berpatah balik ke penginapan mereka kerana air naik terlalu cepat dan dimaklumkan isteri serta empat anak mereka berusia lima hingga 15 tahun dalam keadaan selamat.
"Saya tak dapat hubungi mereka kerana bekalan elektrik telah dimatikan di kawasan inap desa itu. Pada petang Khamis (27 Nov), saya dapat maklumat mereka selamat tapi masih tak dapat masuk ke kawasan inap desa itu kerana hanya boleh dilalui dengan bot," katanya.
Menurut Shahrizal, dia kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Hatyairatprachasun School.
"Saya tumpang kereta orang tempatan untuk keluar mencari isteri dan anak-anak. Saya turut dibantu anggota bomba di sini dan mereka akan cuba ke kawasan inap desa, tempat anak dan isteri berlindung selepas air sedikit surut," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial