AM > BERITA

Musim Tengkujuh: Nelayan Baiki Bot Untuk Kelangsungan Hidup

28/11/2025 04:08 PM

KOTA BHARU, 28 Nov (Bernama) -- Hujan lebat berterusan sejak akhir bulan lepas memaksa nelayan di negeri ini menggantung jala mereka, namun Mamat Abdullah tidak berdiam diri, sebaliknya menjadikan kerja membaiki bot sebagai penyambung rezeki pada musim tengkujuh ini.

"Sejak tidak boleh turun ke laut, saya ambil peluang membaiki bot nelayan lain yang rosak. Permintaan seperti tukar enjin, ganti papan bot, tukar bumbung dan tampal kebocoran juga meningkat pada masa ini," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Mamat, 66, yang berpengalaman lebih 30 tahun membaiki bot fiber berkata walaupun permintaan bertambah pada musim tengkujuh, dia terpaksa mengehadkan jumlah bot yang diterima kerana kerja-kerja itu dibuat seorang diri, selain faktor usia yang membataskan kudratnya.

"Saya hanya ambil tiga hingga lima bot. Jika kerosakan besar, pembaikan akan memakan masa lama dan memerlukan penelitian … kadang-kadang siap dua minggu, ada kalanya mencecah tiga bulan. Saya buat seorang diri, jadi prosesnya memang mengambil masa," katanya.

Walaupun upah membaiki bot hanya kira-kira RM130 sehari berbanding pendapatannya sebagai nelayan yang mampu meraih lebih RM400 sehari, bapa kepada 13 anak itu berkata jumlah itu mencukupi untuk menampung keperluan harian keluarganya.

Dalam pada itu, dia berharap Jabatan Perikanan Negeri dapat membantu menyediakan mesin pemotong dan peralatan lain untuk memudahkannya menyiapkan kerja-kerja membaiki bot dengan kemas dan cepat.

"Banyak kerja yang saya tidak boleh buat kerana tiada peralatan … kadang-kadang saya terpaksa hantar kepada tukang lain untuk tebuk papan. Kalau dapat bantuan peralatan, sangat memudahkan kerja sampingan saya sepanjang musim tengkujuh," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan