AM > BERITA

KPKT Tekankan Pembangunan Berorientasi Komuniti, Bukan Sekadar Bina Rumah

01/12/2025 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan bahawa setiap pembangunan perumahan baharu mesti memenuhi standard kualiti hidup dan membentuk komuniti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, dan bukan sekadar menambah unit kediaman tanpa identiti.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata kementerian melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) kini memperkukuh pemantauan bagi memastikan semua projek mematuhi garis panduan perancangan, termasuk penyediaan kawasan hijau, kemudahan masyarakat, serta ruang interaksi sosial.

“PBT di Semenanjung juga telah pun mula memberi fokus kepada parameter baharu dalam rancangan tempatan, iaitu melibatkan reka bentuk berskala manusia, jaringan pejalan kaki, ruang hijau berfungsi dan integrasi sosial,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Sivaraj a/l Chandran mengenai dasar pembangunan perumahan bagi memastikan projek baharu bukan sahaja membina bangunan, tetapi turut menyediakan landskap, kemudahan awam dan identiti komuniti.

Pematuhan pemaju terhadap garis panduan tersebut akan dipantau dan dilaporkan secara berkala dalam Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan mulai 2026, katanya. 

Menurut Aiman Athirah, laporan pelaksanaan Rancangan Fizikal Negara Keempat juga akan dibentangkan kepada Majlis Perancangan Fizikal Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan pembangunan kekal selaras dengan dasar negara.

Beliau turut menjelaskan, bagi 2024, sebanyak 197,311 unit rumah mampu milik telah siap dibina di seluruh negara meliputi 2,056 unit Program Residensi Rakyat (PPR), 3,467 unit Rumah Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB),224 unit Kediaman SPNB di Taman Seri Molek Perdana, Johor, dan 5,924 unit PR1MA.

Menjawab soalan Senator Jufitri Joha mengenai isu kecacatan projek perumahan yang telah disiapkan,  Aiman Athirah berkata pembeli boleh merujuk tempoh tanggungan kecacatan selama 24 bulan atau membawa kes ke  Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah sekiranya wujud masalah selepas penyerahan.

Beliau berkata pemantauan projek swasta, rumah mampu milik, serta projek lewat, sakit dan terbengkalai dilaksanakan melalui Majlis Perumahan Mampu Milik Negara dan Task Force Projek Perumahan Lewat, Sakit dan Terbengkalai.

“Sejak Disember 2023, sejumlah 1,333 projek berjaya dipulihkan, melibatkan 159,638 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar RM126.47 bilion. Setakat Oktober, jumlah projek lewat dan projek telah menurun kepada 335 projek,” katanya.

Menurutnya, usaha menyeluruh itu penting bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada perumahan mampu milik yang berkualiti, selamat dan berdaya huni.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan