AM > BERITA

34 Projek Pelancongan Dilaksana Di Perak, Persediaan Hadapi TMM 2026 - Exco

01/12/2025 08:57 PM

IPOH, 1 Dis (Bernama) -- Sebanyak 34 projek pembangunan infrastruktur pelancongan di Perak telah dilaksanakan sebagai persediaan awal menghadapi kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata projek itu dijalankan melalui penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta agensi. 

“Projek berkenaan meliputi 16 projek yang berjumlah RM2 juta bagi projek pembangunan kemudahan pelancongan selaras dengan keperluan konsep Age Friendly City, tujuh projek berjumlah RM1 juta bagi naik taraf ikon-ikon pelancongan di lokasi-lokasi strategik di seluruh negeri dan 11 projek yang berjumlah RM1 juta bagi pembangunan infrastruktur luar bandar di kawasan tumpuan pelancong.

“Sebagai tambahan, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan projek infrastruktur berjumlah RM2.6 juta di bawah Belanjawan Negeri Perak 2026 untuk disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya ketika menggulung perbahasan Enakmen Perbekalan 2026, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Beliau berkata peruntukan itu merangkumi RM1 juta bagi pembangunan infrastruktur luar bandar di kawasan pelancongan, menaik taraf ikon serta penyelenggaraan kawasan pelancongan (RM1 juta), penambahbaikan papan tanda dan penunjuk arah (RM500,000) serta Pesta Panjut 2026 (RM100,000). 

Loh berkata sejajar dengan pengumuman TMM 2026, kerajaan negeri turut menyahut kempen promosi itu dengan memperuntukkan RM18.67 juta oleh kerajaan negeri bagi melaksanakan pelbagai program serta projek pembangunan pelancongan dan kebudayaan.

“Peruntukan ini merangkumi pelaksanaan program promosi dan penganjuran acara, pengenalan produk serta perkhidmatan pelancongan baharu, pemerkasaan keunikan dan kepelbagaian budaya, selain meneroka pasaran baharu bagi memperluas potensi sektor pelancongan negeri.

“Ribuan terima kasih diucapkan kepada kerajaan Persekutuan kerana meluluskan peruntukan RM13.5 juta di bawah Rolling Plan Pertama RMK13 bagi tahun 2026 untuk dua projek iaitu RM10 juta bagi menaik taraf kemudahan pelancongan di Teluk Dalam, Pulau Pangkor, Daerah Manjung dan RM3.5 juta bagi pembangunan kemudahan serta infrastruktur ekopelancongan di Lata Puteh, Daerah Larut, Matang dan Selama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata secara keseluruhannya, sehingga Oktober 2025, sebanyak RM5.8 juta telah dikutip di bawah Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) yang memberikan hasil baharu kepada kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, usaha pemutihan masih lagi dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan untuk memastikan semua penyedia premis penginapan pelancongan berdaftar di bawah CPT.

“Cabaran tahun hadapan adalah lebih berat berbanding 2024 dan 2025 bagi sektor pelancongan. Sasaran kedatangan pelancong pada 2026 sebanyak 10.5 juta pelancong domestik dan 1.1 juta pelancong antarabangsa, angka yang realistik berdasarkan trend kedatangan pelancong pada 2024 dan 2025,” katanya.

Persidangan bersambung esok. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan