AM > BERITA

Pindaan Akta PERKESO 2025, MEF Gesa Pelaksanaan Seimbang Dan Mampan

02/12/2025 12:05 AM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) --  Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyeru agar pindaan Akta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) 2025 dilaksanakan secara seimbang dan mampan walaupun terdapat penambahbaikan ketara yang diperkenalkan, termasuk perlindungan 24 jam, faedah yang dipertingkatkan serta sokongan mobiliti dan latihan baharu kepada pekerja.

Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata walaupun persekutuan itu menyokong komitmen kerajaan untuk memperkukuh sistem perlindungan sosial negara, pelaksanaan pindaan tersebut perlu dibuat secara praktikal supaya tidak menimbulkan kesan tidak dijangka kepada majikan dan pekerja.

Beliau berkata penambahbaikan itu mesti disokong oleh perancangan kewangan yang telus dan mekanisme pelaksanaan yang cekap untuk memastikan sistem tersebut terus diyakini. 

“Apabila faedah diperluas, kemampanan jangka panjang dana PERKESO menjadi lebih kritikal. Majikan dan pekerja memerlukan jaminan bahawa perlindungan yang dipertingkat itu kukuh dari segi kewangan, berdasarkan kajian aktuari yang tepat dan dilaksanakan mengikut garis panduan yang jelas supaya tidak disalahgunakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Hussain turut menekankan perlunya garis panduan tuntutan serta prosedur pengesahan yang jelas bagi mengekang risiko salah laku, selain menyifatkan peluasan perlindungan kepada kemalangan bukan berkaitan kerja merupakan satu perubahan besar dalam kerangka perlindungan PERKESO.

Beliau berkata walaupun kadar caruman pekerja kekal tidak berubah, perlu ada ketelusan tentang asas aktuari bagi sebarang peningkatan caruman, selain garis masa pelaksanaan secara berperingkat dan dimaklumkan dengan jelas bagi meminimumkan kesan terhadap pekerja.

“Peningkatan caruman mesti disokong dengan data yang jelas. Pekerja perlu memahami mengapa penyelarasan itu diperlukan dan bagaimana ia menyumbang kepada ketahanan sistem tersebut pada jangka masa panjang,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan pengenalan elaun mobiliti dan peluasan sokongan latihan, namun menegaskan bahawa program sedemikian mesti selaras dengan keperluan sebenar industri.

“Sokongan latihan harus memberi keutamaan kepada kemahiran berimpak tinggi dan relevan dengan industri bagi membantu rakyat Malaysia mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, bukan sekadar menambah bilangan kursus. Majikan perlu dilibatkan dalam merangka program ini,” katanya.

Syed Hussain berkata walaupun pindaan itu tidak melibatkan peningkatan kos perniagaan, majikan dijangka berdepan beban kerja pentadbiran lebih tinggi, keperluan untuk mengemas kini proses sumber manusia serta potensi berlaku pertikaian sekiranya tiada definisi jelas mengenai kecederaan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Sehubungan itu, MEF menyeru kerajaan dan PERKESO untuk memperkukuh libat urus dengan majikan, menyediakan latihan mencukupi dan meningkatkan sistem sokongan digital bagi memastikan pelaksanaan pindaan berjalan dengan lancar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan