KERAJAAN PERHALUSI CADANGAN BANTUAN SOSIAL GUNA MYKAD
KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan sedang memperhalusi cadangan penggantian skim subsidi sedia ada dengan bantuan sosial menggunakan MyKad, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keutamaan kerajaan pada masa ini adalah memastikan pelaksanaan serta kelancaran program sedia ada, iaitu Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
"Kerajaan komited memantau situasi semasa dan memastikan skim subsidi sedia ada dapat dinikmati rakyat Malaysia dalam menghadapi cabaran kos sara hidup," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) sama ada kementerian akan mempertimbangkan untuk menggantikan skim subsidi sedia ada dengan bantuan sosial melalui MyKad, berikutan kejayaan pelaksanaan mekanisme agihan program SARA.
-- BERNAMA
10,214 WARDEN BERTUGAS DI INSTITUSI KPM SETAKAT 30 SEPT
KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Seramai 10,214 warden bertugas di institusi Kementerian Pendidikan (KPM) setakat 30 Sept lepas, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 9,428 warden adalah guru, manakala 786 lagi dilantik daripada kalangan bukan guru.
Wong berkata bagi institusi berasrama penuh, 600 Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa akan dilantik melalui program Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) bagi meningkatkan pemantauan keselamatan serta mengurangkan beban tugas warden.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PH-Tasek Gelugor) sama ada KPM bercadang melantik atau memperluas peranan pembantu pengurusan murid yang juga boleh berperanan sebagai warden asrama.
-- BERNAMA
140 KOPERASI TERIMA MANFAAT INISIATIF PAKAR – RAMANAN
KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Sebanyak 140 koperasi kecil dan mikro telah mendapat manfaat daripada program Bantuan Perakaunan dan Pengauditan Kepada Koperasi Kecil dan Mikro (PAKAR), kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu menyediakan bantuan kewangan sehingga RM3,000 bagi koperasi yang layak di Semenanjung dan RM3,500 bagi koperasi di Sabah dan Sarawak.
“Program ini merangkumi bimbingan dalam penilaian akaun dan proses pengauditan bagi membolehkan koperasi membentangkan penyata kewangan beraudit dalam mesyuarat agung tahunan,” katanya menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai perancangan kerajaan untuk mengaktifkan semula koperasi yang dikategorikan tidak aktif pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Ramanan berkata Institut Koperasi Malaysia (IKMA) turut melaksanakan program pemulihan koperasi bagi melatih dan membimbing koperasi tidak aktif yang berpotensi untuk kembali aktif secara lebih fokus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial