AM > BERITA

KPKT Teliti Pelaksanaan Penggunaan Mikrocip Pada Anjing Peliharaan

03/12/2025 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti pelaksanaan sistem pendaftaran digital bersepadu bagi anjing peliharaan melalui penggunaan teknologi mikrocip.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata penggunaan teknologi yang diterajui Jabatan Perkhidmatan Veterinar itu bertujuan merekodkan data pemilikan dan status anjing.

“Ini membolehkan semua data pemilikan dan status anjing, termasuk pemilik serta rekod pelesenan, vaksinasi, pemandulan dan pemantauan, dapat dipantau dari semasa ke semasa,” katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Che Alias Hamid yang ingin tahu sama ada kerajaan sedia mewajibkan pemasangan mikrocip bagi kawalan pembiakan serta memberikan kuasa jelas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menangkap dan mengawal populasi anjing liar bagi mengurangkan risiko serangan haiwan itu.

Katanya, kaedah tangkapan, tuntutan semula, adopsi atau penyerahan kepada badan bukan kerajaan (NGO) serta pelupusan merupakan amalan terbaik yang digunakan di kebanyakan negara bagi mengekang pertambahan populasi anjing terbiar.

Terdahulu, Aiman Athirah memaklumkan KPKT telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM180,000 pada tahun lepas dan RM130,000 tahun ini kepada PBT yang terlibat bagi menyokong pelaksanaan Kempen Pengurusan Anjing Terbiar.

Menurutnya, kempen itu bertujuan memperkasa kesedaran masyarakat dan memupuk sikap pemilikan haiwan yang bertanggungjawab bagi mengelakkan masalah pembuangan anjing peliharaan.

Beliau berkata sebanyak 37,538 aduan gangguan daripada anjing terbiar telah diterima, dengan 15,815 operasi dilaksanakan dan 66,264 ekor anjing terbiar berjaya ditangkap dalam operasi bersepadu sepanjang tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 19,354 ekor anjing telah diserahkan kepada JPV, dituntut semula oleh pemilik dan diadopsi melalui program anjing angkat,” katanya.

Katanya latihan turut diberikan kepada anggota PBT yang terlibat dalam operasi penangkapan anjing terbiar, termasuk penggunaan peralatan secara beretika, kaedah tangkapan selamat, serta pematuhan kepada kebajikan haiwan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan