KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited memastikan ekosistem francais negara kekal seimbang antara pemain tempatan dan jenama antarabangsa melalui pelaksanaan Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030), selain menyediakan pelbagai bentuk pembiayaan dan latihan kepada usahawan tempatan.
Timbalan Menterinya Datuk Seri R. Ramanan, berkata setakat ini terdapat 68 francais asing dalam sektor makanan dan minuman berdaftar di bawah sistem Malaysia Franchise Express (MyFaX 2.0), manakala francais tempatan masih menguasai pasaran dengan 52.1 peratus.
Beliau berkata kehadiran francais luar negara turut membawa pelbagai manfaat termasuk peningkatan pelaburan, pengukuhan rantaian bekalan, serta pemindahan pengetahuan dan teknologi kepada pemain industri tempatan.
“KUSKOP yakin penyertaan francais luar negara dalam pasaran tempatan akan memberi manfaat kepada perkembangan ekonomi, antaranya merancakkan ekonomi domestik melalui peningkatan pelaburan dan aktiviti rantaian bekalan bahan mentah, menambah peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan, serta mewujudkan pemindahan pengetahuan dan teknologi kepada usahawan tempatan dan pemain industri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol mengenai penilaian impak ekonomi dan sosial yang dijalankan kementerian sebelum meluluskan kemasukan francais asing baharu, khususnya dalam kategori makanan snek dan makanan segera yang mempunyai banyak alternatif tempatan.
Ramanan berkata kerajaan menyediakan pelbagai skim pembiayaan bagi memperkukuh kedudukan francais tempatan, termasuk Skim Pembiayaan Franchisor yang telah memanfaatkan 122 syarikat dengan pembiayaan hampir RM40 juta, manakala 945 syarikat di bawah Skim Pembiayaan Francaisi menerima hampir RM216 juta.
Selain itu, KUSKOP turut menyediakan program bantuan kepada usahawan veteran dan pesara untuk memperoleh perkakasan perniagaan, di samping menyediakan latihan percuma atau bersubsidi serta khidmat rundingan pembangunan perniagaan.
Beliau berkata ekosistem francais tempatan turut diperkukuh melalui latihan dan pembiayaan oleh agensi seperti Pernas bagi memastikan daya saing yang lebih seimbang antara jenama tempatan dan antarabangsa.
Menjawab kebimbangan mengenai kesan rangkaian peruncitan besar seperti FamilyMart terhadap peniaga kecil, beliau menegaskan francais itu turut dimiliki rakyat tempatan dan tidak menjejaskan keseimbangan pasaran.
“Saya ingat tidak menjadi masalah kerana antara franchisor, hanya 47.9 peratus adalah asing, manakala 52.1 peratus adalah tempatan. Jadi ruang dan peluang untuk syarikat tempatan masih diberikan,” katanya.
Beliau berkata beberapa jenama makanan dan minuman tempatan seperti Sangkaya, Kenny Rogers, Marrybrown dan PappaRich turut dipromosikan ke luar negara melalui misi perdagangan di Dubai, Osaka dan Shanghai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial