AM > BERITA

Grab Lancar GrabAssist Untuk OKU Dan Warga Emas

04/12/2025 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Grab Malaysia melancarkan GrabAssist, perkhidmatan khusus bagi menyokong keperluan mobiliti orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pengguna alat bantuan mobiliti peribadi.

Perkhidmatan itu dilancarkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri pada pembukaan Persidangan ASEAN Disability Forum 2025 bersempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya Sedunia.

GrabAssist, yang kini beroperasi di Lembah Klang, memberi pilihan pengangkutan lebih mudah diakses terutama untuk perjalanan antara rumah, pusat jagaan atau hospital.

Pengarah Operasi Negara & Mobiliti Grab Malaysia Rashid Shukor berkata inisiatif itu direka sebagai penyelesaian mobiliti bagi segmen yang kurang diberi perkhidmatan.

“GrabAssist memastikan penumpang yang memerlukan sokongan tambahan dapat melakukan perjalanan dengan lebih yakin dan selesa, dibantu rakan-pemandu yang dilatih untuk memberikan bantuan yang tepat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hampir 100 rakan-pemandu telah menerima latihan daripada penyedia perkhidmatan penjagaan bertauliah, merangkumi kemahiran mengendalikan kerusi roda dan alat bantu jalan selain diberikan kit GrabAssist termasuk kad selak (flip card) untuk komunikasi dalam kenderaan.

Perkhidmatan itu dibangunkan melalui kerjasama Grab dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) dan Persatuan Pemandu e-Hailing OKU Fizikal Malaysia (PPEOFM).

Sementara itu, Presiden MFD Mohd Norhisham Aluwi berkata GrabAssist menunjukkan potensi kerjasama pelbagai pihak dalam meningkatkan akses mobiliti golongan OKU.

“Mobiliti bukan sekadar perjalanan, ia adalah gerbang kepada kebebasan, kesaksamaan dan peluang. GrabAssist membuktikan hasil yang boleh dicapai apabila aksesibiliti diutamakan,” katanya.

Grab turut memaklumkan inisiatif itu sebahagian usaha memperkasa penyertaan ekonomi inklusif, melibatkan lebih 3,000 rakan-pemandu dan rakan-penghantar OKU di Malaysia sejak 2018.

Sempena pelancaran tersebut, Grab menawarkan potongan RM14 bagi setiap perjalanan GrabAssist dari 3 hingga 17 Dis ini. Pelanggan perlu memilih perkhidmatan GrabAssist melalui ciri Advance Booking di aplikasi Grab.

Maklumat lanjut mengenai GrabAssist boleh diperoleh melalui www.grab.com/my/grabassist.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan