AM > BERITA

Presiden Baharu PPj Fokus Penambahbaikan, Penguatkuasaan Berkesan

04/12/2025 08:33 PM

PUTRAJAYA, 4 Dis (Bernama) -- Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) yang baharu Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir menegaskan fokus utama kepimpinannya adalah memperkukuh aspek penambahbaikan kebersihan, keberadaan pegawai di lapangan serta memastikan penyelenggaraan infrastruktur dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata PPj perlu memastikan mutu perkhidmatan sentiasa berada pada standard terbaik kerana masyarakat serta pemegang taruh mempunyai tahap jangkaan yang tinggi berhubung pusat pentadbiran kerajaan berkenaan.

“Saya melihat kehadiran pegawai di lapangan sangat penting, bukan untuk mencari kesalahan tetapi memberi peringatan dan bimbingan secara berhemah supaya kesejahteraan pelanggan dapat dijaga,” katanya kepada Bernama selepas mengetuai Operasi Bersepadu Kesihatan dan Kebersihan Premis PPj di sini hari ini. 

Mohd Sakeri, yang memasuki minggu ketiga menerajui PPj berkata beliau sedang meneliti secara mendalam operasi PPj sebelum memperincikan sebarang pembaharuan.

“Apa yang dibangunkan oleh tujuh presiden sebelum ini sudah kukuh. Peranan saya adalah memastikan kesinambungan itu diteruskan dengan lebih baik serta mengenal pasti ruang penambahbaikan,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan penyelenggaraan infrastruktur yang berkala bagi memastikan aset awam terus berfungsi dalam tempoh lebih panjang dan memberi manfaat kepada warga Putrajaya.

Terdahulu, Mohd Sakeri mengetuai Operasi Bersepadu Kesihatan dan Kebersihan Premis melibatkan Pejabat Kesihatan Putrajaya, Jabatan Wilayah Persekutuan serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Pemeriksaan tertumpu kepada aspek kebersihan premis makanan, pematuhan penjualan produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape serta penguatkuasaan terhadap premis komersial yang berisiko menjejaskan kesihatan awam.

Sebanyak 38 premis diperiksa dan hasil operasi, sebanyak 15 kompaun serta 22 notis amaran dikeluarkan. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan