AM > BERITA

Islamic Tourism Month 2025 Capai Sasaran Jualan RM2.65 Juta

04/12/2025 08:48 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Islamic Tourism Month (ITM) 2025 yang berlangsung dari Ogos hingga September lepas berjaya mencapai sasaran jualan bernilai RM2.65 juta dengan sebahagiannya dijana menerusi lawatan Mosque Open Day (MOD).

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata ITM 2025 yang merupakan edisi keempat anjuran Islamic Tourism Centre (ITC), juga telah mencapai sasaran 160 rakan strategik, termasuk penyertaan daripada TGV Cinemas, Keretapi Sarong, Mohd Chan Group Berhad dan IslamiCruise.

“Bagi tahun 2025, MOD dijalankan di lapan buah masjid di seluruh negara dan telah menarik lebih 3,000 pelawat dan membantu komuniti berhampiran menjana pendapatan berjumlah lebih RM16,000. Ini menjadikan jumlah terkumpul pendapatan jualan melalui semua siri ITM bernilai lebih RM7 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan ITM 2025, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan pemangku Ketua Pengarah ITC Nur Alyssa Coraline Yussin.

Beliau berkata ITM 2025 juga menerima liputan meluas daripada media dengan capaian khalayak melebihi 340 juta selain ITM Tiktok Challenge meraih sebanyak 144 penyertaan dengan 1.7 juta tontonan.

Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata kecekapan perancangan, kreativiti program dan ketekunan pasukan ITC menjadikan ITM 2025 bukan sekadar acara tahunan tetapi satu gerakan yang membuka peluang ekonomi untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pelancongan, mengukuhkan hubungan komuniti serta menonjolkan Malaysia sebagai destinasi mesra pelancong.

Sementara itu, Shaharuddin berkata ITM 2025 membuktikan Malaysia mampu menawarkan pengalaman yang sesuai dengan piawaian antarabangsa tanpa mengorbankan keunikan budaya dan hospitaliti. 

“Cabaran seterusnya adalah mengukuhkan piawaian ini secara lestari, memperkasakan lebih banyak PMKS untuk mengakses peluang pasaran dan meneruskan pemasaran yang tepat untuk menarik segmen pelancong yang berkualiti. Untuk tujuan itu, ITC akan terus memainkan peranan yang penting,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 30 hotel, pengendali pelancongan dan agensi pengembaraan diraikan serta menerima Pengiktirafan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra-Muslim (MFAR).

Shaharuddin turut menyampaikan hadiah kepada @myhalalexplorer yang memenangi hadiah utama ITM 2025 TikTok Challenge dan membawa pulang pakej pelancongan untuk dua orang selama tujuh hari enam malam ke Xi’an, China, kad prabayar RM1,000, baucar RM600 Siti Khadijah serta satu tiket TGV.

Tempat kedua dimenangi @mamaaisyatihani dan membawa pulang pakej pelayaran islamik untuk dua orang selama tiga hari dua malam bersama Aroya Cruises, kad prabayar RM1,000, baucar RM500 Siti Khadijah dan satu tiket TGV.

Shaharuddin juga menyampaikan sijil penghargaan kepada media antaranya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan stesen radio IKIMfm yang telah membuat liputan dan menjayakan ITM 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan