AM > BERITA

Pemergian Allahyarham Bung Moktar Kehilangan Besar Buat Kepimpinan BN - Ahmad Zahid

05/12/2025 02:56 PM

KOTA KINABALU, 5 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO Sabah, malah kepada kepimpinan pada peringkat nasional.

Beliau berkata Pengerusi BN Sabah itu sahabat dekat dengan kepimpinan parti serta tokoh penting yang memainkan peranan besar dalam menghidupkan semula UMNO negeri selepas landskap politik berubah pada 2018.

“Saya dan rakan-rakan kepimpinan UMNO dan BN berasa amat pilu dan sedih dengan pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, sahabat dan seorang daripada kepimpinan UMNO pada peringkat nasional, khususnya Sabah. 

"Saya berharap agar keluarga beliau tenang, redha dan menerima qada dan qadar daripada Allah Taala dan sabar. Mudah-mudahan, kita sama-sama mendoakan agar roh Allahyarham berada di sisi orang-orang beriman, insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas selesai menunaikan solat jenazah di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini hari ini.

Mengulas peranan Bung Moktar dalam parti, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO berkata sumbangan Allahyarham sangat besar khususnya ketika UMNO Sabah berdepan cabaran pasca-PRU (Pilihan Raya Umum) pada 2018.

“Pada tahun itu, beliau ialah tiga daripada 25 Ketua-ketua UMNO Bahagian yang terus kekal dalam UMNO dan menghidupkan UMNO kembali dan beliau merupakan pemacu kepada bangkitan semula UMNO di Sabah dan juga BN.

"Saya sangat bersyukur atas sumbangan beliau selama  memimpin UMNO Sabah dan mudah-mudahan kesinambungan (kepimpinan Allahyarham Bung Moktar) akan dilakukan oleh rakan-rakan beliau dan insya-Allah kita memohon agar UMNO Sabah terus relevan dalam landskap politik Sabah ini,” katanya.

Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 1.46 pagi tadi dan pemergian itu disahkan anaknya Naim Kurniawan Moktar.

Jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Luyang sebelum solat jenazah dilakukan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas selepas solat Jumaat.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-17 pada 29 Nov.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan