AM > BERITA

Tun Musa, Ahmad Zahid Bersama Jemaah Solat Jenazah Allahyarham Bung Moktar

05/12/2025 02:50 PM

KOTA KINABALU, 5 Dis (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama ribuan jemaah hadir menunaikan solat jenazah Ahli Parlimen Kinabatangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Solat jenazah yang dilaksanakan selepas solat Jumaat itu telah diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri Ustaz Suhaidi Kuanting di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini hari ini.

Turut serta Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Mohd Razali Wahab.

Hadir sama beberapa menteri Kabinet Sabah yang lain, pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah, ahli keluarga, waris dan kenalan Allahyarham.

Selesai solat jenazah, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN bersama pemimpin tertinggi BN lain memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Bung Moktar.

Jenazah Allahyarham Bung Moktar kemudian dibawa keluar dari dewan solat masjid berkenaan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, di sini.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bersama pemimpin negeri serta orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di kediaman tokoh politik itu yang juga Pengerusi BN Sabah, di Luyang.

Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 1.46 pagi tadi dan pemergian itu disahkan anaknya Naim Kurniawan Moktar.

Bung Moktar mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-17 pada 29 Nov lepas.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan