KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Markas ATM dalam kenyataan memaklumkan surat tawaran pelantikan diserahkan Naib Canselor USIM Kol (K) Prof Datuk Ts Dr Sharifudin Md Shaarani di Ruang Perkasa, Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Pelantikan itu berkuat kuasa 21 Okt dan dibuat berasaskan rekod kepimpinan strategik dan pengalaman luas Mohd Nizam dalam mengurus keseluruhan ekosistem pertahanan negara.
“Keupayaan Mohd Nizam merangka hala tuju ATM secara menyeluruh termasuk aspek pemodenan aset, diplomasi pertahanan dan tadbir urus sumber manusia yang progresif menjadi faktor utama universiti menetapkan pemilihan berprestij ini.
“Dengan pelantikan sebagai Profesor Adjung, ATM berpeluang memperkukuh jaringan kolaborasi akademik melalui perkongsian ilmu, penyelidikan bersama-sama dan pembangunan modul kepimpinan ketenteraan di institusi pendidikan tinggi,” menurut kenyataan itu.
Hadir sama menyaksikan majlis penyerahan surat tawaran pelantikan ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) USIM Tan Sri Dr Nik Norzul Thani Nik Hassan Thani.
Selain itu, ATM turut merakamkan penghargaan kepada USIM dan menyifatkan pengiktirafan itu bakal memberi impak positif kepada budaya ilmu dalam organisasi ketenteraan serta menyokong usaha memperkasakan kepimpinan profesional yang berwibawa dan berorientasikan masa hadapan.
“ATM akan terus komited menjadikan kerjasama akademik sebagai elemen penting dalam pembinaan kepimpinan pertahanan negara yang kompeten dan berdaya tahan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial