AM > BERITA

Kecekapan Anggota Sukarela Wataniah Perlis Tonjolkan Kesiapsiagaan Hadapi Bencana

05/12/2025 05:29 PM

PADANG BESAR, 5 Dis (Bernama) -- Kecekapan anggota sukarela Askar Wataniah menghadapi banjir di Perlis membuktikan mereka bukan sekadar pasukan sokongan malah tonggak pertahanan negeri yang sentiasa bersedia bagi berdepan ancaman keselamatan mahupun bencana alam.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah keberanian dan disiplin serta kesiapsiagaan anggota keselamatan termasuk anak watan yang berkhidmat sebagai anggota sukarela askar itu turun membantu tanpa ragu-ragu.

“Baru-baru ini, negeri kita sekali lagi diuji dengan bencana banjir. Namun, di sebalik ujian itu, saya melihat keberanian, disiplin dan kesiapsiagaan anggota keselamatan, agensi awam, pihak swasta serta rakyat biasa yang turun membantu tanpa ragu-ragu,” titah baginda.

Raja Muda Perlis itu bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Program Jiwa Murni sempena sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen 504 Askar Wataniah Ke-45 bagi tahun ini di Taman Rekreasi Gua Kelam, di sini hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah Anggota Wataniah sekarang bukan sahaja memiliki kekuatan fizikal tetapi juga ketajaman minda, keutuhan moral dan kesetiaan tidak berbelah bahagi yang menjadikan mereka barisan pertahanan dipercayai rakyat.

“Saya yakin, selagi semangat ini dipelihara, Perlis akan kekal teguh meskipun berdepan gelombang sebesar mana sekali pun,” titah baginda.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra menegaskan kekuatan sebenar negeri itu bukan sekadar bertunjangkan aset atau infrastruktur, malah terletak pada jiwa dan tekad rakyatnya.

“Selagi rakyat bersatu, saling membantu dan saling memuliakan, selagi itulah negeri ini akan terus berdiri teguh walau berhadapan apa jua cabaran banjir, krisis ekonomi mahupun perubahan iklim,” titah baginda.

Mengenai Program Jiwa Murni itu, baginda bertitah pelaksanaan program itu menggambarkan kesepaduan kukuh antara kerajaan, agensi keselamatan, sektor swasta dengan rakyat dalam satu pendekatan menyeluruh kerajaan, menyeluruh masyarakat. 

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah apabila seluruh jentera negeri bergerak sebagai satu pasukan yang harmoni, maka ia melahirkan kekuatan luar biasa yang mampu mengangkat Perlis sebagai sebuah negeri dinamik, teguh dan berdaya saing.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan