AM > BERITA

Program Rancakkan MADANI Ruang Rakyat Tinjau, Nilai Segala Usaha Kerajaan - PM Anwar

05/12/2025 05:34 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Kerajaan MADANI kini melangkah ke tahun ketiga pentadbirannya dengan membawa pelbagai usaha pembaikan, daripada pengukuhan ekonomi dan kebajikan rakyat hinggalah merangka semula hala tuju pembangunan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku yang berlangsung di pekarangan Dataran Putrajaya mulai hari ini hingga Ahad, menyediakan ruang terbuka untuk rakyat meninjau hasil kerja Kerajaan MADANI serta menilai sendiri perubahan yang sedang dilaksanakan.

“Mulai hari ini hingga Ahad di Dataran Putrajaya, saya mengajak orang ramai hadir bersama keluarga dan rakan-rakan untuk merancakkan gelombang usaha MADANI ini.

“Kehadiran kalian bukan sekadar untuk melihat pencapaian, tetapi juga untuk menyatakan pandangan, kritikan dan harapan, serta memahami arah tuju kita sebagai sebuah negara yang bertapak atas nilai ihsan, kekuatan ekonomi dan keadilan untuk semua,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku merupakan kesinambungan tradisi pelaporan tahunan Kerajaan MADANI kepada rakyat, susulan penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI pada 2023 dan Program Dua Tahun Bersama Kerajaan MADANI (2024).

Program itu menjadi wadah penting menampilkan pencapaian, kemajuan dasar serta hasil reformasi Kerajaan MADANI secara telus dan mudah difahami rakyat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan