AM > BERITA

PERKESO Cadang Kecualikan PKS Lapor Kekosongan Jawatan

05/12/2025 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bercadang memberikan pengecualian kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada kewajipan melaporkan kekosongan jawatan atau pewujudan jawatan baharu, susulan pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Menteri Sumber Manusia Steven Sim bagaimanapun berkata perkara itu tertakluk kepada hasil rundingan dengan pihak berkepentingan, dan PERKESO akan bekerjasama dengan majikan serta pekerja bagi memperincikan pelaksanaannya.

Sim berkata tempoh moratorium dua tahun akan diberikan sebelum pindaan dikuatkuasakan dan memberikan jaminan kepada majikan bahawa tiada tindakan atau penalti dikenakan jika gagal melaporkan kekosongan jawatan dalam tempoh berkenaan.

“Matlamat sistem itu adalah untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses kepada peluang pekerjaan terbaharu dalam pasaran, membantu syarikat memadankan kekosongan jawatan dengan kumpulan bakat serta memperoleh data pasaran buruh yang tepat bagi merangka dasar lebih baik.

“Proses pelaporan adalah mudah, secara dalam talian dan automatik. Tempoh moratorium akan digunakan untuk membantu serta membimbing pihak berkepentingan menyesuaikan keadaan dengan sistem berkenaan dan melakukan penambahbaikan jika perlu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pindaan Akta SIP itu turut merangkumi penambahbaikan elaun pengangguran, subsidi latihan kemahiran dan elaun mobiliti bagi mereka yang kehilangan pekerjaan.

Pada Selasa, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang SIP (Pindaan) 2025, antara lain bertujuan meningkatkan faedah kepada pencarum PERKESO kehilangan pekerjaan serta memperkukuh tadbir urus bagi pelaksanaan skim insurans pekerjaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan