KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA) hari ini menyatakan kebimbangan serius terhadap kesukaran berterusan dihadapi pihak peniaga dalam memohon kuota pekerja asing dan menekankan bahawa masalah itu semakin membebankan sejak pembukaan semula permohonan pada Oktober 2025.
Menurut persatuan itu, pihaknya menerima peningkatan ketara pertanyaan daripada pelbagai industri yang mencari penjelasan mengenai prosedur permohonan dan melaporkan halangan yang dihadapi sepanjang proses berkenaan.
Isu biasa yang dilaporkan termasuk ketidakupayaan majikan untuk memenuhi keperluan penginapan di bawah Akta 446, kesukaran mendapatkan surat sokongan yang diperlukan di bawah Seksyen 60K, pegawai temu duga tidak meluluskan kuota mengikut nisbah yang ditetapkan dan sekatan khusus sektor.
"Permohonan pekerja asing dibekukan pada 18 Mac 2023, sebelum dibuka semula berdasarkan kes demi kes pada Oktober tahun ini. Semasa awal pembukaan semula, keperluan adalah tidak konsisten dan kerap dipinda, menyebabkan ketidakpastian yang besar dan kesukaran operasi untuk perniagaan," menurut PAPA dalam kenyataan hari ini.
Persatuan itu menyatakan bahawa banyak negeri tidak lagi membenarkan rumah kos rendah, mampu milik atau perumahan awam (PPR) digunakan sebagai penginapan pekerja dan pada masa sama bilangan terhad Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) dan Kuarters Pekerja Sementara (TLQ), khususnya di Lembah Klang, merumitkan lagi pematuhan.
Menurut persatuan itu, permohonan untuk menukar lot kedai kepada asrama juga melibatkan bayaran tinggi dan masa pemprosesan yang panjang, kadangkala melebihi setahun sekali gus menyukarkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memenuhi keperluan undang-undang.
PAPA memaklumkan pihaknya secara rasmi telah membangkitkan kebimbangan itu dalam surat kepada Menteri Sumber Manusia Steven Sim dan juga telah bertemu dengan Bahagian Dasar Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk memberikan maklum balas yang membina.
Bagi menangani cabaran itu, PAPA mencadangkan pendekatan yang lebih fleksibel dan memudahkan iaitu membenarkan majikan yang tidak dapat mematuhi sepenuhnya Akta 446 menandatangani Surat Aku Janji dan meletakkan deposit keselamatan dengan kementerian.
Menurut persatuan itu, pendekatan berkenaan akan memastikan pihak peniaga tidak kehilangan akses kepada kuota pekerja asing serta-merta demi kesinambungan operasi, sambil memastikan pihak berkuasa mengekalkan penguatkuasaan tegas terhadap piawaian penginapan.
PAPA turut menzahirkan kebimbangan terhadap sekatan berterusan yang menjejaskan sektor pembuatan dan pembinaan. Sejak Mac 2023, tiada syarikat dalam industri tersebut diberikan kuota, kecuali kelulusan terhad dalam sektor perladangan.
Persatuan itu justeru menggesa KESUMA dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mempertimbangkan keperluan praktikal perniagaan di samping KPI kementerian, menekankan kepentingan dasar buruh yang seimbang dan boleh diramal.
Dasar buruh yang seimbang, adil dan boleh diramal adalah penting untuk melindungi daya tahan ekonomi Malaysia, melindungi kebajikan pekerja dan menyokong operasi perniagaan yang mampan,” menurut PAPA.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial