AM > BERITA

Multiplex Buka Ibu Pejabat Baharu, Lancar Alamanda Heights Residence Di Serdang

07/12/2025 04:18 PM

 SERDANG, 7 Dis (Bernama) -- Multiplex Property Group (Multiplex) meraih satu lagi pencapaian besar hari ini dengan pembukaan rasmi ibu pejabat baharunya di Taman Bukit Serdang, yang diadakan sempena prapelancaran  Alamanda Heights Residence, projek kondominum pegangan bebas setinggi 36 tingkat. 

Majlis tersebut dirasmikan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang turut memuji komitmen pemaju dalam memperkukuh pembangunan bandar dan mewujudkan ruang berteraskan komuniti di Selangor. 

Pengerusi Multiplex Property Group Datuk Adam Lee berkata ibu pejabat baharu dan projek kediaman tersebut menandakan pertumbuhan berterusan dan kehadiran jangka masa panjang kumpulan itu di rantau ini. 

“Majlis hari ini merupakan satu langkah penting buat Multiplex yang memperkukuhkan operasi dengan ibu pejabat baharu dan memperkenalkan Alamanda Heights Residence kepada orang ramai. Pembangunan ini mencerminkan visi kami untuk menyediakan kediaman yang menggabungkan lokasi strategik, reka bentuk moden dan nilai jangka panjang.

“Dengan kemajuan pembinaan yang berjalan lancar, kami yakin Alamanda Heights akan menjadi mercu tanda baharu dan penanda aras bagi kehidupan moden di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan,” katanya.

Bangunan baharu itu yang siap pembinaannya pada 2019 dengan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), kini berfungsi sebagai pusat kawalan utama Multiplex bagi menyokong Alamanda Heights Residence, projek semasa serta beberapa pembangunan hartanah bertingkat dan bertanah lain yang bakal dilancarkan.

Kumpulan itu memaklumkan pembinaan ibu pejabat tersebut bertujuan meningkatkan penyelarasan dalaman, menambah baik penyampaian projek dan mengukuhkan kecekapan perkhidmatan kepada pihak berkepentingan. 

Alamanda Heights Residence mengandungi 440 unit kediaman dengan pelbagai susun atur, termasuk untuk RSKU, dengan kerja pemasangan cerucuk sedang giat dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. Projek tersebut menawarkan kesalinghubungan yang baik di dalam kawasan Taman Bukit Serdang dan akses ke lebuh raya berdekatan serta kemudahan sedia ada lain. 

Lebih 250 tetamu termasuk pegawai kerajaan, rakan industri dan institusi kewangan menghadiri majlis pelancaran tersebut yang diserikan dengan acara memotong reben, persembahan tarian singa, lawatan ke pejabat dan unit pameran serta sesi bersama media. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan