KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan polis dan kerajaan membayar pampasan RM1.1 juta kepada keluarga seorang ahli perniagaan yang meninggal dunia dalam lokap polis pada 2018.
Hakim Noor Hayati Mat memutuskan balu S. Thanabalan iaitu V.Shanti dan bapa wanita itu P. Vathian menerima RM500,000 sebagai ganti rugi am kerana kecuaian, RM200,000 sebagai ganti rugi teruk termasuk kesakitan dan penderitaan, RM30,000 (kehilangan nyawa), RM414,000 (ganti rugi tanggungan) serta RM10,000 (ganti rugi khas untuk menampung perbelanjaan pengebumian).
Mahkamah turut memerintahkan kerajaan membayar faedah pada kadar lima peratus setahun bermula dari tarikh Thanabalan ditemukan meninggal dunia pada 17 April 2018 sehingga jumlah ganti rugi itu diselesaikan.
Hakim Noor Hayati turut memberikan kos berjumlah RM7,000 kepada pihak plaintif. Keputusan terbabit disampaikan dalam prosiding menerusi aplikasi Zoom.
Peguam M. Visvanathan yang mewakili keluarga berkenaan, ketika dihubungi mengesahkan keputusan itu.
Pada 12 Mac 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan polis dan kerajaan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati kedua-dua pihak cuai berhubung kematian Thanabalan dalam lokap polis.
Pada 30 Okt 2023, keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepada Santhi dan Vathian, yang memutuskan bahawa Ketua Polis Negara dan kerajaan cuai kerana gagal menghantar Thanabalan ke hospital secepat mungkin. Mahkamah Rayuan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi taksiran ganti rugi yang perlu dibayar kepada keluarga Thanabalan.
Thanabalan ditahan pada 29 Mac 2018 di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana didakwa terlibat dengan kumpulan jenayah terancang.
Pada 8.30 malam, 17 April 2018, Thanabalan pengsan di lokap Ibu Pejabat Polis Shah Alam dan dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan.
Santhi, 45, dan Vathian, 75, memfailkan saman itu pada 2021 terhadap 11 pegawai polis, Ketua Polis Negara dan kerajaan kerana cuai dan salah laku dalam jawatan awam.
Santhi turut memfailkan saman itu bagi pihak dua anaknya dan harta pusaka suaminya. Vathian ialah pentadbir bersama harta pusaka itu. Mereka menuntut ganti rugi termasuk kehilangan nyawa, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi am serta perbelanjaan pengebumian.
Pada 4 April 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak saman itu, namun Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan mendapati polis dan kerajaan cuai atas kematian Thanabalan, menyebabkan polis dan kerajaan memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial