AM > BERITA

Pesawat Ringan Mendarat Cemas Di Taiping Berdaftar Di Bawah MSAF

09/12/2025 03:25 PM

TAPAH, 9 Dis (Bernama) --  Pesawat ringan jenis Microlight  yang mendarat cemas di kawasan lapang berhampiran Lapangan Terbang Tekah di Taiping merupakan pesawat yang berdaftar di bawah Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF).

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata semakan turut mendapati juruterbang dan pelatih yang terlibat dalam insiden itu juga berdaftar di bawah persekutuan berkenaan.

“Kejadian tersebut telah dilaporkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh CAAM berkaitan insiden berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di Kompleks Perumahan IPD Tapah di sini hari ini.

Pada majlis itu, Supt Abdul Malik Hasim menggantikan Johari yang bertukar ke IPD Nilai sebagai Ketua Polis Daerah baharu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail dilaporkan berkata pihaknya dimaklumkan kejadian pada 10.30 pagi Ahad lepas melalui sistem NG MERS 999. 

Beliau berkata juruterbang berusia 46 tahun dan pelatih berusia 40 tahun yang cedera telah dibawa ke Hospital Taiping dan dilaporkan dalam keadaan stabil, sementara pesawat tersebut dikesan melakukan pendaratan cemas akibat kerosakan enjin.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan